Berita

Chow Kon Yeow angkat sumpah Ketua Menteri Pulau Pinang

Chow Kon Yeow menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang buat penggal kedua

GEORGETOWN 13 Ogos – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Kelima, buat penggal kedua susulan kemenangan gabungan parti politik itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berusia 65 tahun itu melafazkan sumpah memegang jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada jam 9.35 pagi di Seri Mutiara di sini.

Beliau kemudian menandatangani Surat Sumpah Pelantikan Jawatan disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar, disusuli bacaan doa oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Istiadat turut dihadiri Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Timbalan Pengerusi PKR negeri, Datuk Bakhtiar Wan Chik; Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri, Dr Roslan Ahmad dan Pengerusi BN Pulau Pinang merangkap Pengerusi UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Pelantikan Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong menyusul selepas gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Keputusan PRN semalam menyaksikan DAP berjaya mengekalkan kemenangan di 19 kerusi DUN ditandingi, manakala PKR menang tujuh daripada 13 kerusi ditandingi, AMANAH mengekalkan satu kerusi, iaitu Bayan Lepas, manakala BN melalui UMNO menang dua DUN.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan merangkap Pengerusi DAP negeri itu yang memberhentikan kenderaan rasminya di hadapan petugas media yang menunggu di luar kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri, melahirkan rasa gembira dilantik semula sebagai Ketua Menteri.

“Gembira, gembira. Ya saya gembira,” ujarnya ringkas dengan senyuman ceria dan melambai tangan kepada pemberita sebelum beredar. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button