Berita

Belanjawan 2023: RM10 bilion dana pinjaman oleh BNM untuk PKS

Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sedia menjamin sehingga RM20 bilion pinjaman PKS.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus menyokong pemulihan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain memacu semula perniagaan itu untuk mengharungi tempoh pasca pandemik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata untuk tujuan itu, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sedia menjamin sehingga RM20 bilion pinjaman PKS dengan sektor tumpuan seperti teknologi tinggi, pertanian dan pembuatan diberi jaminan kerajaan sehingga 90 peratus.

“Jaminan juga diperluas kepada pembiayaan oleh institusi kewangan bukan perbankan seperti syarikat pajakan kredit dan koperasi supaya dapat memberi manfaat khusus kepada penjaja kecil,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan menyediakan hampir RM10 bilion dana pinjaman disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi meringankan beban kewangan PKS dan menyokong pengembangan perniagaan.

Selain itu, katanya, kemudahan pinjaman di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) juga akan disediakan membabitkan jumlah RM1 bilion yang akan menyokong PKS mikro dan penjaja.

“BNM menyediakan dana pinjaman sehingga RM2 bilion bagi mendukung syarikat pemula teknologi lestari dan membantu syarikat PKS menerap amalan rendah karbon.

“Tarif elektrik telah dikekalkan bagi semua pengguna domestik dan perniagaan PKS tetapi semua syarikat besar kecuali sektor makanan dan pertanian telah dinaikkan,” katanya.

Artikel Berkaitan

Back to top button