Kajian selaras gaji penjawat awam ambil masa 6 hingga 8 bulan – Anwar

KUALA LUMPUR 27 Julai – Kajian pelarasan gaji penjawat awam akan mengambil masa enam hingga lapan bulan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, kajian pelarasan gaji penjawat awam kali terakhir dilakukan pada 2012, dan menjadi tanggungjawabnya sebagai perdana menteri semasa untuk melakukan semula kajian.
“Sepatutnya kaji setiap 12 tahun. Kajian terakhir (pada) 2012,” katanya ketika berucap di Majlis Apresiasi Guru-Guru Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban.
“Tetapi tidak ada jawatankuasa … sekarang sudah 2023. Sepatutnya 2020 patut mula jawatankuasa, (buat) keputusan pada 2021 dan laksanakan pada 2022.”
Terdahulu, beliau mengumumkan bantuan khas RM300 bagi penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, manakala RM200 untuk pesara kerajaan.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, veteran tentera dengan atau tanpa pencen turut akan mendapat bantuan khas RM200, dengan bayaran dijangka dibuat dalam tempoh dua minggu dari sekarang.
Ahad lepas, Anwar berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat pengurusan pertama mengenai pelarasan skim gaji itu minggu depan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, peningkatan gaji penjawat awam bergantung kepada hasil negara, yang menurutnya lebih baik berbanding unjuran awal.
“Lebih banyak orang bayar cukai, lebih banyak tauke besar bayar cukai,” katanya. – Xklusif