Sukan

FSR UiTM perkasa generasi muda Terengganu dengan Flag Football & Frisbee

Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah mengambil langkah proaktif dalam memperkasa pembangunan sukan alternatif di Malaysia dengan melancarkan dua program inovatif di Kuala Terengganu. Program yang bertajuk “Terengganu Takeoff: United Under One Flag” dan “Frisbee Throwlogy D’Ganu” ini bertujuan memperkenalkan sukan Flag Football dan Frisbee kepada pelajar sekolah menengah di negeri itu.

Pelancaran program ini berlangsung dari 12 hingga 19 Jun dan melibatkan seramai 146 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman serta beberapa sekolah menengah lain di sekitar Kuala Terengganu. Ia menjadi platform penting untuk memperkenalkan sukan bukan arus perdana kepada generasi muda, khususnya di luar Lembah Klang.

Wakil Dekan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi, Nurul Ain Muhammad Rafiai

Dalam satu sidang media di UiTM Shah Alam, Puan Nurul Ain Muhammad Rafiai yang mewakili Dekan FSR, menegaskan bahawa program ini mencerminkan komitmen fakulti dalam merakyatkan sukan alternatif. Menurut beliau, Flag Football dan Frisbee bukan sahaja menyeronokkan, malah mampu membentuk kemahiran sosial, disiplin, dan kepimpinan dalam kalangan pelajar.

Selain memberi pendedahan kepada pelajar sekolah, program ini juga berfungsi sebagai platform latihan praktikal kepada mahasiswa UiTM. Seramai 91 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan semester enam terlibat secara langsung dalam mengendalikan dan melaksanakan program ini. Mereka berpeluang menerapkan teori pengurusan sukan yang dipelajari ke dalam situasi sebenar.

Dari kiri: Pengarah Program United Under One Flag, Eqmal Emir Azuddin, Wakil Kelab Flag Football, Idzuwan b Zulkifli, Wakil Dekan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi, Nurul Ain Muhammad Rafiai, Wakil Kelab Frisbee, Muhammad Fawwaz Mohd Phuat dan Pengarah Program Frisbee Throwlogy DʼGanu, Muhammad Aizuddin Manah pada sidang media pelancaran program inovatif FSR UiTM Shah Alam di Shah Alam, hari ini.

Antara pengisian utama program ialah bengkel kemahiran asas Flag Football dan Frisbee, pertandingan mini, demonstrasi permainan, aktiviti akuatik di Pulau Redang, serta lawatan industri ke Pasar Payang. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran sukan peserta, malah memberi pendedahan kepada budaya tempatan.

Puan Nurul Ain turut menekankan bahawa elemen pembelajaran luar turut diterapkan dalam program ini. Ia membolehkan peserta memahami prinsip pengurusan sukan dan rekreasi secara mendalam melalui pengalaman langsung, sekali gus melahirkan pelajar yang lebih holistik dan berdaya saing.

Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada kelab dan komuniti profesional seperti Rentap Flag Football Club dan All Ultimate Roar Frisbee Community. Penglibatan mereka memastikan pelaksanaan program berjalan secara profesional dan memberi impak tinggi kepada semua peserta.

Menurut kenyataan rasmi yang diedarkan kepada media, inisiatif ini juga menjadi jambatan yang merapatkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti sekolah. Ia dijangka mewujudkan keharmonian dan ikatan ukhwah antara UiTM dan pelajar sekolah, selain memperkenalkan alternatif sukan baharu yang boleh diteruskan di peringkat sekolah.

Puan Nurul Ain berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dan diperluaskan ke lebih banyak sekolah di seluruh negara. Beliau percaya, usaha memperkenalkan sukan alternatif mampu mencungkil bakat baharu dan melahirkan pelajar yang lebih aktif serta berwawasan.

Artikel Berkaitan

Check Also
Close
Back to top button