Gara-gara ‘awek’, remaja 17 tahun bunuh rakan, campak mayat dalam parit di Bagan Datuk
Remaja itu ditahan dalam satu serbuan di kawasan Hutan Melintang, Sabtu lalu

BAGAN DATUK 29 Ogos – Polis menahan seorang remaja bawah umur kerana disyaki membunuh rakannya gara-gara mangsa dikatakan mengganggu teman wanita suspek.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata suspek berusia 17 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di kawasan Hutan Melintang, Sabtu lalu.
Beliau berkata, suspek dipercayai membunuh mangsa berusia 21 tahun pada 20 Ogos lalu sebelum membuang mayat mangsa di sebuah parit dekat Jalan Pasir Kampung Sungai Payung Baroh, Rungkup di sini.
“Identiti mangsa sudah kita kenal pasti. Suspek dan mangsa adalah kawan dan jiran yang tinggal di sebuah taman perumahan di Teluk Intan.
“Punca bunuh disebabkan remaja berkenaan berasa cemburu kepada simati kerana mengganggu teman wanita suspek yang berusia 20 tahun.
“Suspek direman tujuh hari dari tarikh tangkapan sehingga 1 September depan bagi siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Adnan turut menafikan mesej berantai yang tular di aplikasi WhatsApp yang mendakwa terdapat dua mangsa bunuh.
Tegasnya, berdasarkan siasatan pihak polis, hanya satu sahaja mayat mangsa bunuh ditemui dalam kes terbabit.
Pada 24 Ogos lalu, satu mayat tanpa identiti yang sudah mereput ditemui dalam parit ladang kelapa sawit Rungkup, di sini dengan kesan kelar di leher serta luka di tangan dan kaki mangsa. — Berita Harian