Insentif awal SSP ganjaran adil buat kerja keras penjawat awam – PM
Jumlah itu kecil jika dibandingkan dengan tugasan yang dijalankan penjawat awam

PUTRAJAYA 17 Okt – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bayaran insentif awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSP) sebanyak RM2,000 yang diumumkan melalui Belanjawan 2024 Jumaat lalu, adalah ganjaran yang adil kepada penjawat awam.
Malah Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah itu kecil jika dibandingkan dengan tugasan yang dijalankan penjawat awam.
“Ada orang kritik dalam keadaan hutang yang banyak, sebab apa kita masih rasa perlu beri ganjaran yang adil kepada penjawat awam.
“Sebenarnya (insentif diberi itu) kecil (berbanding) kerja (dijalankan mereka) dan (mengambil kira) kenyataan yang skim penjawat awam yang baru lebih 10 tahun, sepatutnya dibuat dua tahun lalu.
“Tetapi disebabkan politik yang tidak terarah, (skim itu) hanya dilakukan tahun ini dan mengambil masa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Dewan Utama Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong.
Semalam, Anwar ketika berucap pada perjumpaan bulanaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri mengarahkan supaya Kajian SSP disiapkan pertengahan tahun dengan untuk memastikan struktur gaji baharu kepada penjawat awam dapat diumumkan dalam belanjawan akan datang.
Beliau turut berharap kajian itu dapat segera disiapkan kerana tidak munasabah untuk mengharapkan produktiviti penjawat awam terus dipertingkatkan, namun kadar upah kekal rendah.
Perdana Menteri ketika menyentuh isu SSP berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) supaya kajian secara menyeluruh dilakukan termasuk mengambil pandangan semua pihak.
“Saya memberitahu kepada JPA dan KSM jika nak buat kajian, kena menyeluruh dan ambil pandangan yang dianggap adil kepada semua dalam bidang dalam kerajaan.
“Jadi ambil masa. Sementara itu kita putuskan untuk bagi ganjaran sementara untuk awal tahun depan,” katanya.
Jumaat lalu menerusi Belanjawan 2024, kerajaan bersetuju memberi bayaran insentif awal Kajian SSP RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Kerajaan turut memberikan RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam membabitkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata serta seluruh anggota beruniform.
Bayaran insentif RM1,000 turut diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen yang akan diberikan pada akhir Februari 2024. – Berita Harian