Kerajaan Negeri Sembilan melancarkan Tabung Apartment, banguankan Bandar Wakaf Malaysia-Gaza bersama MAPIM

Negeri Sembilan, 28 Februari 2025 – Dengan penuh rasa tanggungjawab dan semangat solidariti, Kerajaan Negeri Sembilan melancarkan Tabung Apartment Wakaf Negeri Sembilan pada 28 Februari 2025 di Masjid Negeri, Negeri. Majlis ini dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan.
Tabung Apartment Wakaf Negeri Sembilan adalah sebahagian daripada projek pembangunan yang lebih besar, iaitu Bandar Wakaf Malaysia-Gaza. Projek ini merupakan inisiatif bersejarah yang akan menjadikan Malaysia negara pertama di ASEAN yang membangunkan sebuah bandar wakaf di Gaza. Matlamat utama projek ini adalah untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin serta memperkenalkan model pembangunan berasaskan wakaf yang pertama di Malaysia di Palestin.
Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak akan melibatkan pembangunan 14 blok apartment wakaf yang mewakili setiap negeri di Malaysia, termasuk Negeri Sembilan. Selain itu, projek ini akan membina kemudahan utama seperti masjid, sekolah, klinik kesihatan, taman rekreasi, dan menara tangki air.
Menurut Dato’ Sani Araby Dato’ Abdul Alim Araby, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia dan Pengasas Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza, projek ini akan menjadi simbol utama solidariti Malaysia dalam usaha membantu rakyat Palestin, dan ia dijangka menelan kos sekitar RM120 juta. Tanah wakaf seluas 87 ekar di Gaza telah dipersetujui pada Februari 2023 dan kini menerima sokongan daripada wakaf bernilai RM40 juta.
Pelancaran Tabung Apartment Wakaf Negeri Sembilan ini tidak hanya bertujuan untuk mengumpul dana, tetapi juga mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dan kemanusiaan antara Malaysia dan Palestin. Pembangunan ini juga seiring dengan agenda Malaysia MADANI yang memberi penekanan kepada keprihatinan terhadap isu global dan kemanusiaan.
Kerajaan Negeri Sembilan akan turut melaksanakan kaedah pemotongan gaji kepada penjawat awam Kerajaan Negeri Sembilan sebagai inisiatif tambahan kaedah pengumpulan sumbangan kepada Tabung Wakaf Apartment Negeri Sembilan bernilai RM 4,500,000.00 (Ringgit Malaysia Empat Juta Lima Ratus Ribu Sahaja). Inisiatif ini akan diuruskan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan akan diserahkan kepada MAPIM Malaysia bagi memastikan pengurusan dan pelaksanaannya berjalan dengan lancar dan memenuhi tujuan murni untuk membantu rakyat Palestin.
Selain itu, projek ini turut disokong oleh kerajaan negeri, seperti Selangor dan Terengganu, yang juga bersetuju untuk menyertai inisiatif ini melalui pembinaan apartment wakaf, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas bagi kesejahteraan masyarakat di Gaza.
Dengan penglibatan kerajaan negeri, agensi kerajaan, serta sumbangan rakyat Malaysia, projek ini dijangka akan membawa manfaat yang besar kepada Gaza dan menjadi contoh global dalam pembangunan berasaskan wakaf.