Jualan Rahmah punca kekurangan minyak paket subsidi
Sebelum ini kuota bulanan minyak paket subsidi itu sebanyak 60,000 tan metrik untuk isi rumah adalah mencukupi.

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Penjualan minyak paket bersubsidi menerusi beberapa program khas termasuk Jualan Rahmah, menjadi antara faktor menyumbang kepada kekurangan barang keperluan pengguna itu di beberapa kawasan ketika ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof, berkata sebelum ini kuota bulanan minyak itu sebanyak 60,000 tan metrik untuk isi rumah adalah mencukupi.
Bagaimanapun katanya, dalam kajian yang dijalankan baru-baru ini mendapati minyak berkenaan turut digunakan untuk tujuan lain ketika ini.
“Sebagai contoh dalam Program Jualan Rahmah. Ini bermakna minyak masak bersubsidi di peringkat peruncitan ini turut digunakan di kempen khas. Selain itu terdapat juga faktor lain.
“Bagaimanapun, ketika ini kita sedang bekerjasama dengan pihak bertanggungjawab untuk mencadangkan kepada kerajaan supaya mempertimbangkan pertambahan (kuota) dan bergantung kepada keputusan kerajaan (untuk menambah kuota).
“Kita akan cuba atasi masalah bekalan khususnya di peringkat peruncitan supaya rakyat yang layak dapat minyak masak bersubsidi ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan MY Gaya Month 2023 sempena Kempen Beli Barangan Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azman percaya, masalah kekurangan minyak paket bersubsidi di beberapa kawasan tertentu bukan bersifat jangka panjang.
“Namun, KPDN akan berunding dengan pengeluar minyak masak supaya membekalkan minyak masak di tempat yang berlaku kekurangan,” katanya.
Sementara itu, mengulias isu diesel bersubsidi, beliau mengakui ketirisan bukan sahaja berlaku apabila ia diseleweng ke luar negara, tetapi juga turut berlaku di dalam negara.
Namun katanya, dengan adanya Ops Tiris yang dipanjangkan tempoh sehingga ke penghujung tahun, jumlah ketirisan dan rampasan semakin dapat dikurangkan.
“Bagaimanapun, kita akan terus memantau isu ini dengan lebih dekat lagi malah ketika ini juga sudah memperkenalkan sistem yang dapat memantau dari pengeluaran kilang ke pemborong dan ke peruncit.
“Dengan adanya sistem ini juga, kita dapati bukan mudah untuk diesel diselewengkan lagi,” katanya.
Mac lalu, KPDN melancarkan Ops Tiris bermula 1 Mac bagi membanteras ketirisan subsidi berdiesel di negara ini.
Pelaksanaan Ops Tiris itu diputuskan dalam mesyuarat bersama antara pelbagai kementerian dan agensi berkaitan. — Berita Harian