Berita

Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani dijangka berlangsung meriah

Seramai 3,000 pengunjung dijangka menghadiri Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani sempena sambutan Maal Hijrah 1447H, di sini pada 13 Julai, Ahad ini.

Pusat Parlimen Tambun dalam kenyataan memaklumkan, program yang akan diadakan di pekarangan Masjid Jamek Al-Amin, Kampung Lata, Ipoh, Perak itu akan bermula seawal 5.30 pagi hingga 11.00 malam.

Pelbagai pengisian dan aktiviti menarik disediakan di kawasan sekitar masjid termasuk demonstrasi khat, penyalinan dan percetakan al-Quran.

Pengunjung bakal menyaksikan sendiri bagaimana sebuah al-Quran dihasilkan secara profesional bermula daripada penyalinan ayat-ayat suci menggunakan teknik tradisional dan moden, sehinggalah ke proses akhir pencetakan serta penjilidan.

Lebih istimewa, orang ramai juga diberi peluang menyalin sendiri ayat-ayat al-Quran menggunakan buku khas yang disediakan, menyerlahkan rasa keterlibatan kerohanian dan penghargaan terhadap seni penulisan mushaf.

Karnival ini turut menawarkan jualan pelbagai versi al-Quran daripada bersaiz poket hinggalah koleksi besar, selain menggunakan terjemahan dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu, Inggeris dan tulisan Jawi.

Selain itu, pengunjung dapat menikmati pengisian menarik seperti persembahan nasyid, forum bersama tokoh ilmuwan dan selebriti Islamik serta aktiviti komuniti sepanjang hari.

Program dengan kerjasama rakan strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut mengangkat aspirasi Malaysia Madani dengan memastikan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira usia atau latar belakang untuk hadir dan berhimpun dalam satu acara yang mengukuhkan nilai perpaduan, kasih sayang serta keharmonian.

Ia selari dengan misi kerajaan untuk membina sebuah negara yang inklusif dan sejahtera untuk semua.

Artikel Berkaitan

Back to top button