Berita

Kerajaan aktifkan 8,481 PPS tangani banjir – Anwar

Persiapan dilakukan sekarang walaupun kawasan itu belum terkena kesan yang parah.m

KUALA LUMPUR 28 Nov – Kerajaan sudah meningkatkan persiapan dari segi tindakan bencana, aset dan kemudahan untuk membantu 1.62 juta mangsa yang dijangka terjejas akibat banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai langkah segera, sebanyak 8,481 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan bagi mengelakkan keadaan kelam kabut ketika bencana itu melanda.

Persiapan dilakukan sekarang walaupun kawasan itu belum terkena kesan yang parah.

“Persiapan dibuat untuk menempatkan 1.62 juta mangsa di lebih 5,000 sekolah, 2,400 dewan dan balai raya serta 389 pusat komuniti,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai persediaan kerajaan dalam melaksanakan pelan komprehensif pengurusan bencana banjir bagi memastikan keselamatan mangsa banjir dan meminimumkan kehilangan harta benda dalam musim MTL ketika ini.

Perdana Menteri berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenal pasti 5,648 lokasi panas banjir dan kerja penyelenggaraan dilaksanakan, termasuk bagi sungai, kolam takungan banjir dan infrastruktur, selain mengaktifkan bilik kawalan operasi, pusat amaran dan ramalan banjir yang beroperasi 24 jam.

Selain itu, kerajaan juga menaik taraf stesen siren amaran banjir, stesen kamera web dan penempatan 737 pam bergerak.

“Bagi peruntukan awal, sebanyak RM241 juta disediakan yang disalurkan kepada JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) dan agensi tindak balas untuk kegunaan 164 daerah, dengan RM100 juta sudah dibelanjakan untuk penyelenggaraan sungai dan perkara berkaitan.

“Bagi persiapan tindakan bencana, ia membabitkan 66,169 pegawai dan anggota pelbagai cabang dan agensi kerajaan, dengan sokongan 25,440 unit pelbagai aset, termasuk dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), serta aset darat, air, udara dan jaket keselamatan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Shamshulkahar mengenai tindakan menaik taraf kemudahan di PPS, Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah memutuskan untuk menubuhkan segera Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) dan mula dirintis di sembilan negeri dengan siling RM5 juta bagi setiap pusat berkenaan.

“Dalam soal projek tebatan banjir, enam projek berjalan mengikut jadual dan yang lain sudah masuk projek persiapan akhir untuk dimulakan dalam tempoh satu dua bulan ini di semua negeri,” katanya.

Bagi soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berhubung bantuan kepada petani dan penternak terjejas banjir, Perdana Menteri berkata, kadar bantuan mengambil kira pandangan semua negeri dan beliau akan memastikan ganti rugi yang munasabah untuk mangsa banjir.

Selain itu, katanya, keutamaan projek bagi mengatasi banjir diberikan kepada Kelantan kerana situasi bencana yang lebih parah di negeri itu, termasuk Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan fasa dua dan rancangan tebatan banjir Kota Bharu, yang akan dimulakan dalam tempoh sebulan.

“Bagaimanapun semalam dalam perbincangan dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, bagi pihak Malaysia, kita setuju untuk memulakan sekarang dan beliau beri jaminan, siap Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) untuk bahagian Thailand, Sungai Golok ke Rantau Panjang dan ini bukan saja membabitkan jambatan tetapi juga penyelenggaraan sungai untuk mengurangkan tekanan banjir,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button