Makin teruk, mangsa banjir Selangor, Perak meningkat
Mangsa banjir meningkat kepada 722 orang di Selangor.

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Situasi banjir di Selangor dan Perak tidak menunjukkan tanda reda apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) dua negeri itu terus mencatatkan peningkatan malam ini.
Di Selangor, jumlah mangsa meningkat kepada 722 orang daripada 184 keluarga berbanding 673 orang daripada 170 keluarga pagi tadi.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebuah lagi PPS dibuka di Dewan Dato Hormat Kampung Seri Cheeding, Jenjarom di daerah Kuala Langat yang menempatkan lapan mangsa, sekali gus menjadikan lapan PPS dibuka di negeri itu setakat malam ini.
Berdasarkan Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, dua sungai melepasi tahap bahaya, iaitu Sungai Semenyih di Pekan Bangi Lama, Hulu Langat pada 17.15m dan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat setinggi 11.38m setakat 7.30 malam tadi.
Sungai Semenyih di Kampung Pasir, Hulu Langat dan Sungai Langat di Jenderam Hilir, Sepang pula melebihi tahap amaran dengan masing-masing setinggi 49.86m serta 3.95m.
Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan mangsa banjir meningkat kepada 310 orang daripada 91 keluarga setakat malam ini berbanding 299 orang daripada 87 keluarga pagi tadi di empat PPS di daerah Hilir Perak dan Kerian.
“Jumlah mangsa di Hilir Perak bertambah kepada 156 orang daripada 48 keluarga di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, manakala tiada lagi mangsa ditempatkan di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, namun pusat itu belum ditutup secara rasmi.
“Mangsa banjir di Kerian pula kekal 97 orang daripada 24 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga di PPS SK Alor Pongsu.”
JPS melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong masih di tahap bahaya 4.08m, Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula dalam keadaan berjaga-jaga 13.09m.
Jabatan Kerja Raya Perak pula memaklumkan laluan FT 147 Jalan Selama di Kerian masih ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh, sementara laluan A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah dijadikan jalan alternatif. — Xklusif