MED4IRN setuju percepat projek pembangunan IDN
IDN merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital.

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) bersetuju mempercepatkan pelaksanaan Projek Pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat itu semalam memaklumkan, IDN merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital.
Jelas beliau, IDN berfungsi dengan merujuk sumber kepada sumber tunggal yang sahih berdasarkan ciri-ciri biometrik individu.
“IDN apabila siap kelak akan bertindak sebagai platform pengenalan diri digital yang boleh diyakini untuk pengesahan maklumat individu semasa mendapatkan perkhidmatan daripada penyedia perkhidmatan.
“Ia akan memastikan transaksi dalam talian adalah dalam persekitaran digital yang fleksibel dan selamat,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus mempertingkatkan program pendigitalan sektor awam untuk
memastikan kemajuan digital yang mapan dan memacu agenda transformasi digital negara.
Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan IDN itu adalah antara inisiatif di bawah Teras Memacu Transformasi Digital Sektor Awam di dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
Beliau berkata, langkah itu seiring dengan hasrat Ekonomi MADANI untuk mengangkat negara sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan, mesyuarat tersebut juga telah bersetuju dengan pelaksanaan inisiatif bagi memperkukuhkan ekosistem syarikat pemula serta meningkatkan keterlibatan dan prestasi syarikat pemula tempatan.
Jelas beliau, keputusan itu adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 20 negara utama ekosistem syarikat pemula global menjelang 2030 serta membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan digital serantau.
“Sehingga kini, terdapat sekurang-kurangnya 14 agensi yang terlibat dalam ekosistem syarikat pemula merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan produk, pemasaran dan kepakaran.
“Sehubungan itu, kerajaan akan melaksanakan inisiatif single window untuk menyelaras dan menyusun semula fungsi, terutamanya berkaitan kerjasama merentasi agensi dan penggiat dalam ekosistem syarikat pemula sebagai panduan dalam penggubalan dasar dan membuat keputusan.
“Inisiatif ini menetapkan sasaran mewujudkan 5,000 syarikat pemula menjelang 2025,” kata Perdana Menteri. — Xklusif