BeritaDunia

Cuaca suhu tertinggi direkodkan di seluruh dunia pada bulan Jun

Dari Nigeria ke Jepun, Pakistan ke Sepanyol, bulan Jun merupakan yang paling panas pernah dicatatkan di 12 negara dan amat panas di 26 negara lain, menurut analisis AFP berdasarkan data daripada pemantau Eropah, Copernicus.

Kira-kira 790 juta orang di seluruh Eropah, Asia dan Afrika mengalami bulan Jun paling panas setakat ini. Bagi penduduk di 26 negara lain, termasuk Britain, China, Perancis, Republik Demokratik Congo dan Ethiopia, bulan Jun merupakan bulan kedua paling panas dalam rekod.

Gelombang haba semakin kerap dan lebih kuat akibat pemanasan global, kata pakar.

Berikut ialah ringkasan haba luar biasa yang dicatatkan pada bulan Jun:

Eropah: 3°C melebihi paras biasa

Gelombang haba awal musim panas membakar kawasan barat dan selatan Eropah pada penghujung bulan Jun, membawa cuaca panas terik ke kawasan Paris di Perancis serta beberapa bahagian di Belgium dan Belanda yang tidak biasa dengan suhu sedemikian.

Sekitar 15 negara, termasuk Switzerland, Itali, dan semua negara Balkan, mencatatkan peningkatan suhu sehingga tiga darjah Celsius melebihi purata bulan Jun antara tahun 1981 dan 2010. Sepanyol, Bosnia dan Montenegro mencatatkan bulan Jun paling panas setakat ini.


Asia-Pasifik: rekod haba di darat dan laut

Jepun turut mencatat bulan Jun paling panas sejak data mula direkodkan pada tahun 1898, dengan suhu tertinggi direkodkan di 14 bandar semasa gelombang haba. Suhu air laut pesisir pula 1.2°C lebih tinggi daripada biasa, menyamai catatan tertinggi pada Jun 2024 sejak pemantauan dimulakan pada 1982, menurut agensi kaji cuaca pada 1 Julai.

Musim panas Jepun tahun lalu sudah pun merupakan yang paling panas pernah dicatat, menyamai tahap pada 2023, diikuti musim luruh paling panas sejak rekod dimulakan 126 tahun lalu. Pokok sakura kesayangan Jepun kini berbunga lebih awal akibat iklim yang lebih panas, atau kadangkala tidak berbunga sepenuhnya kerana musim luruh dan musim sejuk tidak cukup sejuk untuk mencetuskan proses pembungaan, kata pakar.

Korea Selatan dan Korea Utara juga mengalami bulan Jun paling panas sejak rekod mula dicatat. Suhu di kedua-dua negara adalah 2°C lebih tinggi daripada purata yang direkodkan.

Di China, sebanyak 102 stesen cuaca merekodkan hari bulan Jun paling panas pernah dicatat, dengan beberapa lokasi mencatatkan suhu melebihi 40°C, menurut media rasmi.


Asia Tengah: musim bunga paling panas dalam rekod

Suhu melonjak ke tahap tertinggi untuk bulan Jun di Pakistan, yang mempunyai populasi 250 juta, dan di Tajikistan, yang mempunyai 10 juta penduduk. Rekod bulan Jun itu berlaku selepas musim bunga yang luar biasa panas di Asia Tengah. Beberapa negara termasuk Pakistan dan Tajikistan, Iran, Afghanistan, Uzbekistan dan Kyrgyzstan mengalami musim bunga (April-Jun) paling panas yang pernah direkodkan.


Sub-Sahara Afrika: hampir setanding dengan tahun 2024

Di Nigeria, negara keenam paling ramai penduduk di dunia dengan 230 juta orang, suhu meningkat ke paras rekod bulan Jun 2024.

Beberapa bahagian lain di Afrika tengah dan timur juga mengalami kepanasan yang luar biasa. Bulan Jun merupakan bulan kedua paling panas dalam rekod selepas tahun 2024 di Republik Afrika Tengah, Sudan Selatan, Cameroon, Republik Demokratik Congo dan Ethiopia.

Di Sudan Selatan, suhu melebihi purata biasa bulan Jun sebanyak 2.1°C, satu penyimpangan luar biasa daripada kebiasaan di rantau dunia yang biasanya mempunyai suhu lebih stabil.

Negara miskin yang dilanda masalah keselamatan ini tidak bersedia untuk menghadapi bencana alam yang semakin meningkat, dan telah pun bergelut dengan gelombang haba yang dahsyat pada bulan Mac, yang lazimnya merupakan bulan paling panas sepanjang tahun.

Pelajar yang rebah akibat cuaca panas di ibu negara Juba mendorong kerajaan untuk menutup sekolah dan mengarahkan rakyat supaya kekal di rumah.

“Cuaca ekstrem dan kesan perubahan iklim sedang menjejaskan setiap aspek pembangunan sosioekonomi di Afrika dan memburukkan lagi kelaparan, ketidaktentuan dan perpindahan penduduk,” amaran Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) PBB pada bulan Mei.

Artikel Berkaitan

Back to top button