PM umum peruntukan RM500 juta selesai masalah air bersih di Kelantan

KUALA KUMPUR 18 Jun – Perdana Menteri mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM500 juta bagi menyelesaikan masalah air bersih di Kelantan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman peruntukan segera itu untuk membantu menyelesaikan masalah air di Kelantan.
“Namun, ia (peruntukan) perlu diuruskan mengikut saluran yang betul. Peruntukan segera ini adalah sebahagian daripada peruntukan RM1.7 bilion yang diumumkan sebelum ini untuk menyelesaikan masalah air.
“Peruntukan itu bagi penggantian paip di Bachok dan Projek Loji Air di Tok Bali, Pasir Puteh,” katanya menerusi Program ‘Temu Anwar’ Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini.
Anwar berkata, peruntukan itu adalah susulan daripada perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri sebelum ini.
“Ini tidak asyik nak bergaduh saja, sedangkan rakyat hendak air bersih. Jadi kita bincang (dengan kerajaan Kelantan) nak minta peruntukan selesaikan masalah air.
“Saya kata nak minta banyak sangat tidak boleh. Jadi kita mulakan projek, tetapi ia dikendalikan bersama (Kerajaan Persekutuan dan Kelantan),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Kelantan memohon peruntukan lebih RM8 bilion daripada Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah air.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor berkata, permohonan dibuat kepada Anwar untuk penyelesaian jangka masa pendek dan panjang.