Polis tetap siasat Sanusi tunjuk kertas undi
Polis berharap semua pihak perlu memberi peluang kepada polis untuk menyiasat kes berkenaan

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Polis akan memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk dirakam keterangan kerana mempamerkan kertas undi pada Pilihan Raya Negeri, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, semua pihak perlu memberi peluang kepada polis untuk menyiasat kes ini.
Beliau berkata, pihaknya akan panggil Muhammad Sanusi untuk dirakam percakapan.
“Siasatan dijalankan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Polis tidak akan menganiayai sesiapa dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sini, hari ini.
Razarudin berkata, bagi membuat pertuduhan, ia bukan diputuskan pihaknya, tetapi polis akan membuat cadangan kepada Peguam Negara selepas melihat keterangan.
“Kita juga takkan hendak memandai tambah keterangan dan terpulang kepada Pejabat Peguam Negara untuk tuduh atau tidak,” katanya.
Beliau yang juga seorang peguam berkata, tiada mana-mana peruntukan dalam undang-undang melarang sesiapa daripada mendedahkan undi mereka secara sukarela.
“Seksyen yang berkaitan ialah Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Jika kita membaca seksyen itu dengan baik dan mendalam, jelas sekali tiada satu pun peruntukan dalam Seksyen 5 tersebut terpakai kepada apa yang dilakukan oleh Muhammad Sanusi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Sanusi didakwa menayangkan kertas undi kepada petugas media yang membuat liputan ketika beliau menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sik, Kedah. – Xklusif