Politik

PRN: MCA umum tidak tanding di enam negeri

KUALA LUMPUR 5 Julai – Selepas MIC, MCA pula hari ini mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri iaitu Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu,Kelantan dan Negeri Sembilan bulan depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon berkata, keputusan ini dicapai selepas perbincangan secara mendalam dan analisis serta mengambil kira situasi politik semasa di mana parti akan melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula.

“Dalam tempoh ini, MCA akan lebih menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya lagi, dalam masa sama, MCA akan memainkan peranan sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) dengan membantu calon-calon parti komponen BN di dalam PRN enam negeri ini kelak.

“Ditegaskan bahawa MCA berpegang teguh kepada falsafah penubuhan parti kami, iaitu mana-mana keputusan yang diambil parti haruslah selari dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesederhanaan, kebebasan dan demokrasi, di samping menjaga hak dan kepentingan rakyat sebagai agenda utama kami,” ujarnya.

Pada 30 Jun lalu, Xklusif melaporkan MIC berkemungkinan besar tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Sumber MIC memberitahu, parti itu bagaimanapun akan memberi sokongan termasuk sumber jentera pilihan rayanya kepada semua calon Barisan Nasional (BN).

Keputusan untuk tidak bertanding itu dianggap sebagai rekod baharu oleh penganalisis politik kerana buat pertama kali, sebuah parti komponen yang sudah lama berada dalam BN memilih untuk tidak bertanding di mana-mana kerusi. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button