PRN: MIC seru jentera sokong kempen calon PH

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran meminta semua jentera parti itu di seluruh negara supaya memberi sokongan kepada kempen calon Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Perkara itu dimaklumkan apabila MIC sebelum ini mengumumkan bahawa hanya akan berkempen kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam PRN di enam negeri.
“Saya meminta semua pemimpin MIC di seluruh negara bermula hari ini, turun berkempen kepada calon-calon PH.
“Memang sebelum ini kita mengambil keputusan untuk tidak berkempen kepada calon PH.
“Tetapi, sebagai tanda menghormati Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang hadir ke ibu pejabat MIC hari ini, saya nak semua ahli kita menyokong calon PH dalam PRN ini,” katanya dalam majlis mesyuarat khas Perdana Menteri bersama ahli MIC di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden MIC Daruk Seri M Saravanan.
Keputusan rasmi MIC sebelum ini ialah menyokong PH di peringkat pusat tetapi tidak akan berkempen untuk calon gabungan berkenaan dalam PRN.
Terdahulu, MCA dan MIC mengumumkan untuk bertanding dalam PRN di enam negeri dan akan memberikan komitmen untuk membantu kempen calon BN.
Tindakan itu dibuat selepas mendapati mereka diketepikan daripada rundingan pembahagian kerusi antara BN dan PH.
Susulan itu, semalam Anwar berkata akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin MIC yang berlangsung hari ini.
Pertemuan itu berkaitan dengan dakwaan rasa tidak puas hati dan perpecahan dalam parti komponen BN. – Xklusif