Politik

Reformasi tak berjaya kerana gagal hukum Tun M

Lokman Noor Adam mengakui reformasi masih lagi belum berjaya.

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Walaupun dengan pelantikan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, salah seorang penyokong terawal parti itu berhujah bahawa gerakan Reformasi yang bermula 25 tahun lalu masih belum berjaya.

Bercakap sebagai ahli panel pada forum sempena ulang tahun ke-25 gerakan Reformasi malam tadi, Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam menceritakan bagaimana dia diperkenalkan dengan istilah reformasi sebagai ahli Pemuda Umno pada 1996 di bawah pimpinan Ketua Pemuda Umno ketika itu Ahmad Zahid Hamidi.

Lokman berkata Zahid pada masa itu memperkenalkan tema “Pemuda Pemangkin Gerakan Reformasi” untuk menyokong Anwar, yang ketika itu menteri kewangan, timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, dalam usaha mencabar dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Dr Mahathir Mohamad yang pada masa itu perdana menteri dan presiden Umno.

“Kelantangan Pemuda Umno ketika itu kita menentang korupsi, kronisme dan nepotisme…. dan ini yang membawa kepada pemecatan Anwar,” kata Lokman.

Anwar dipecat pada 2 Sept 1998, dan tahun-tahun berikutnya menyaksikan perbicaraan dan sabitan atas tuduhan rasuah dan pertuduhan liwat terhadapnya.

Lokman adalah antara pemimpin Pemuda Umno yang dipecat bersama Anwar dan mereka bersatu sebagai penyokong terawal yang akhirnya mengasaskan Parti Keadilan Nasional, pada 1999, yang seterusnya menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Kalau tanya saya Reformasi berjaya tak? Tak berjaya. Sebab kita nak hapuskan korupsi, kronisme dan nepotisme…tapi sampai sekarang (Mahathir tak didakwa di mahkamah).

“Untuk mengukur kejayaan Reformasi sekurang-kurangnya kena heret Mahathir ke mahkamah,” kata Lokman.

Lokman berkata, tidak seperti Anwar, dia tidak pernah mempercayai Mahathir – dengan dua kali penahanan tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kini dimansuhkan – semasa dia keluar dari Umno. — MalaysiaKini

Artikel Berkaitan

Back to top button