Berita

Sedih tengok flat kos rendah di Johor, macam reban ayam – Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR 15 Mei – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan perasaan kecewa terhadap bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat-flat kos rendah di negeri itu.

Dalam kenyataan di Facebook rasmi, Sultan Ibrahim bertitah, kebanyakan flat-flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif.

Titah Sultan Johor, keadaan flat itu dipenuhi sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.

“Saya melihat ada beberapa flat kos rendah di negeri ini dalam keadaan yang amat menyedihkan dan seolah-olah rakyat saya hidup dalam ‘reban ayam’.

“Saya harap kerajaan pusat akan berikan bantuan untuk baikpulih flat kos rendah yang lama, dan penduduk juga mesti sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran kawasan flat mereka,” titah Sultan Ibrahim.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.

Dalam pada itu, Sultan Johor turut menzahirkan rasa tidak puas hati dengan perkhidmatan pembersihan yang dijalankan SWM Environment Sdn Bhd (SWM) di negeri itu.

“Kerajaan negeri terpaksa membayar hampir RM180 juta setiap tahun kepada SWM, namun perkhidmatan (pembersihan) atau pungutan sampah yang dijalankan langsung tidak memuaskan.

“Malah perjanjian bersama SWM adalah ‘watertight’ seolah-olah tidak boleh dipertikaikan. Walaupun banyak aduan telah dibuat mengenai perkhidmatan SWM yang mengecewakan, namun keadaan masih tidak berubah,” titah Sultan Ibrahim. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button