Senada dengan KJ, Hishammuddin persoal apa sudah jadi dengan UMNO

KUALA LUMPUR 8 Mac – Kecoh dalam media sosial dan menjadi tumpuan pemerhati politik berkaitan dengan kecelaruan keputusan berhubung usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) supaya dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum itu memberi pengecualian kepada UMNO berhubung usul tiada pertandingan bagi dua jawatan teratas parti berkenaan dalam pemilihan akan datang pada 18 Mac.
Namun, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pula didakwa mengeluarkan surat bahawa keputusan usul tambahan Ucapan Dasar Presiden Di PAU 2022 jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada penggal pemilihan parti yang akan datang adalah tidak sah.
Perkara itu mendapat respons daripada pemimpin politik antaranya Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
“Benar dan tepat KJ. Apa jadi jadi dengan UMNO ini? Sekarang di heret pula Menteri KDN. Baru tahu sebab kita di pecat dan di gantung. Just in case Menteri tak beri pengecualian!!” katanya.
Hishammuddin berkata demikian menerusi satu komen balas terhadap video yang dimuat naik Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO di akaun Instagram miliknya.
Menerusi video itu, Khairy berkata, keputusan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menunjukkan RoS sememangnya memutuskan keputusan UMNO tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno sebagai tidak sah.
Untuk rekod, Hishammuddin selama ini disebut-sebut berkemungkinan bertanding jawatan tertinggi UMNO bersama bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Khairy pula memang telah menyatakan mahu mencabar Presiden, Zahid Hamidi tetapi tidak dapat lagi berbuat demikian setelah dipecat daripada parti. – Xklusif