Berita

Bekas setpol, Datuk Seri antara 4 direman kes rasuah jutaan ringgit tender kementerian

Ia susulan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi

PUTRAJAYA 24 Jan – Empat ahli perniagaan termasuk seorang bekas setiausaha politik dan individu bergelar Datuk Seri direman kerana disyaki menerima suapan daripada beberapa syarikat serta kontraktor yang mendapat tender di sebuah kementerian.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan tiga suspek direman empat hari sehingga Sabtu ini, manakala seorang lagi selama tiga hari iaitu sehingga Jumaat ini.

Ia susulan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, penahanan empat lelaki itu dibuat selepas suspek utama yang sebelum ini bekerja sebagai setiausaha politik kepada seorang bekas menteri, meminta dan menerima suapan bagi memastikan tender pembekalan di sebuah kementerian diperoleh pihak kontraktor.

“Keempat-empat suspek ini dipercayai menerima suapan daripada beberapa syarikat termasuk kontraktor yang mendapat tender kerja di sebuah kementerian sekitar 2020 hingga 2021 yang membabitkan nilai jutaan ringgit.

“Semua suspek ditahan sekitar jam 7 hingga 8.30 malam tadi iaitu tiga di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir bagi direkodkan keterangan, manakala seorang lagi ditahan di sekitar Shah Alam di Selangor,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, SPRM juga kemungkinan memanggil beberapa individu lain bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button