Dunia

Gaza terputus bekalan elektrik, doktor akui Palestin makin derita

Gaza terpaksa menutup loji janakuasa elektrik susulan kehabisan bahan api.

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Sekatan penuh ke atas Semenanjung Gaza oleh Israel menyaksikan wilayah itu bakal berdepan krisis kemanusiaan terburuk susulan penutupan satu-satunya loji janakuasa elektrik yang kehabisan bahan api pada Rabu.

Pihak berkuasa pada 2 petang waktu tempatan mengeluarkan amaran bekalan elektrik akan terputus setelah kehabisan bahan api dan bekalan itu terputus sepenuhnya sejam kemudian.

Ketiadaan elektrik sekali gus menyulitkan urusan harian penduduk khasnya di hospital yang kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada generator yang dilaporkan hanya mampu bertahan selama dua hingga empat hari sahaja.

Seorang wakil dari Hospital Shifa di Gaza City berkata pihak berkuasa Israel telah menyasarkan petugas barisan hadapan terutamanya pasukan perubatan yang membantu orang awam. Beliau juga merayu kepada masyarakat global agar menghulurkan bantuan, lapor Al Jazeera.

“Kami sedang menderita … dan dunia tidak menunjukkan sebarang usaha. Ini adalah (isyarat kecemasan) SOS kepada seluruh dunia… anda mesti membantu kami,” katanya selepas penutupan loji janakuasa tunggal di daerah itu diumumkan setelah kehabisan bahan api.

Ketiadaan bekalan elektrik juga bermakna tiada bekalan air atau lif berfungsi di bangunan tinggi. Keadaan itu sekali gus menjadikan daerah itu dalam kegelapan sepenuhnya malam ini.

Menurut penduduk, ketiadaan bekalan elektrik juga menyukarkan mereka mengecas telefon bimbit atau menonton TV untuk mengikuti perkembangan semasa.

Ia juga menjadikan wilayah itu kembali ke era zaman pertengahan sekali gus Gaza kini berada di ambang kehancuran.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza pihaknya telah mula mencatu dan mengarahkan kuasa terhadnya untuk meneruskan perkhidmatan kecemasan dan sensitif serta menyelamatkan seberapa ramai orang yang cedera.

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata empat daripada pasukan perubatannya terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza.

Tiga daripada mereka maut apabila serangan udara tentera rejim Zionis “secara langsung menyasarkan ambulans” Bulan Sabit Merah di utara Gaza, manakala anggota keempat terbunuh dalam pengeboman berasingan di timur kawasan itu, kata kumpulan bantuan itu.

Konflik berlarutan antara kedua-dua pihak sejak ketegangan itu tercetus pada Sabtu menyaksikan angka kematian di pihak Israel mencecah 1,200 orang manakala lebih 1,000 orang telah terbunuh oleh serangan udara Israel di Gaza. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button