Seorang maut, 10 termasuk 6 budak cedera nahas 2 kereta
Kejadian berlaku pada pukul 5.13 petang semalam.

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Seorang wanita maut, manakala 10 lagi termasuk enam kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Serkam-Bemban, Serkam, Melaka pada semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Sukur Md Ali, berkata pihaknya menerima laporan berhubungan nahas itu pada jam 5.13 petang tadi.
Susulan itu, beliau berkata, sepasukan enam pegawai dan anggota dari BBP Merlimau dikerahkan ke tempat kejadian dan tiba 12 minit kemudian.
“Setiba di lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Proton Persona dan Toyota Camry.
“Enam individu membabitkan tiga dewasa dan tiga kanak-kanak menaiki Proton Persona, manakala Toyota Camry pula dinaiki dua dewasa dan tiga kanak-kanak.
“Seorang wanita yang juga penumpang Proton Persona disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan, dan semua mangsa yang lain cedera,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Seramai 13 anggota terbabit operasi yang turut dibantu pasukan dari BBP Jasin Bestari, termasuk dua orang daripada Unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS). — Xklusif