Jangan ulang lagi peristiwa seorang Agong ada 4 PM berbeza – Ahmad Maslan
Kejadian pertukaran empat kali Perdana Menteri berlainan dalam tempoh lima tahun ini tidak sepatutnya berlaku lagi demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat

PONTIAN 14 Jan – Cadangan pembentukan rang undang-undang (RUU) khusus bagi membolehkan kerajaan mentadbir dan bertahan hingga akhir penggalnya seperti dikemukakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, adalah langkah tepat bagi menjaga kestabilan politik negara.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata gesaan itu juga penting bagi memberi peluang kepada parti yang memenangi pilihan raya umum (PRU) memerintah negara mengikut penggal tanpa diganggu dengan usaha pihak tertentu untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, berkata kejadian pertukaran empat kali Perdana Menteri berlainan dalam tempoh lima tahun ini tidak sepatutnya berlaku lagi demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Kita tidak mahu berlaku lagi kejadian seorang Yang di-Pertuan Agong mempunyai empat Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal.
“Sebelum ini seorang Perdana Menteri pernah menjalankan tanggungjawab bersama empat Yang di-Pertuan Agong berbeza, tetapi ketika ini sebaliknya yang berlaku hingga menyebabkan ketidakstabilan politik.
“Walaupun sekarang sudah ada 152 sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi masih ada cerita untuk menjatuhkan kerajaan dan perkara ini amat mengganggu kerajaan yang mahu melakukan pembangunan untuk rakyat,” katanya selepas taklimat pembangunan projek bagi daerah Pontian di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Pontian, di sini, hari ini.
Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan cadangan berhubung keperluan RUU khas itu bagi memastikan peristiwa terdahulu seperti pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa depan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian sebagai merujuk kepada gerakan ‘Langkah Dubai’ yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.
Ahmad Zahid menyifatkan usaha dilakukan pihak terbabit hanya sia-sia, sekadar khayalan dan illusi kerana khabar angin seumpama itu pernah dikatakan bakal berlaku pada Oktober lalu tetapi tidak menjadi kenyataan hingga kini. – Berita Harian