Wan Ahmad Farid dilantik sebagai Ketua Hakim Negara baharu

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan melantik Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan Negara yang diterbitkan pada Jumaat, pelantikan itu dibuat oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja Melayu.
Selain itu, kenyataan tersebut menyebut, Yang di-Pertuan Agong turut berkenan melantik Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.
Menurut kenyataan itu lagi, majlis penyampaian pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda akan diadakan pada 28 Julai ini di Istana Negara.
Pelantikan Wan Ahmad Farid adalah bagi menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu.