Tun M vs Anwar, warganet tak sabar tunggu siapa pemenang

KUALA LUMPUR 12 Mei – Kemelut antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya semakin berlarutan apabila Dr Mahathir sekali lagi mencabar Anwar untuk membuktikan dakwaan beliau memiliki sejumlah wang seperti yang didakwa Perdana Menteri ke-10 itu.
Bahkan, bekas Perdana Menteri itu sebanyak dua kali itu secara berseloroh berkata, sekiranya Anwar mampu berbuat demikian, separuh daripada wang berkenaan akan diberikan kepada Ahli Parlimen Tambun itu.
“(Atas) sebab (tuduhan) itu, saya cabar Anwar, kalau (dia dapat) jumpa RM1 bilion (yang dikatakan) duit (yang ada kepada) saya, saya (akan) bagi dia separuh (daripada amaun itu),” katanya.
Perkara itu sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi warganet yang semakin berminat untuk mengetahui kebenaran disebalik kemelut yang berlaku memandangkan kedua-dua figura berkenaan mempunyai pengaruh yang tersendiri.
Tidak kurang juga warganet yang menyatakan sokongan terhadap Dr Mahathir yang disifatkan pemimpin yang berpengalaman dan berani berdepan kecaman.
Warganet, Ibu Shabil berkata, dia sudah lebih 20 tahun menunggu pertembungan antara Dr Mahahir dan Anwar yang mempunyai keberaniaan untuk mencabar antara satu sama lain.
“Lebih 20 tahun aku tunggu game ni. Antara pertembungan terhebat sepanjang zaman. Sangat mustahil Anwar berani tuduh secara terbuka tanpa ada apa-apa bukti yang kukuh untuk sokong dakwaan beliau. Lawan tetap lawan, kalah menang cerita lain,” katanya.
“Tun M memang terbaik berani kerana benar.. Siap mencabar perdana menteri. Perdana Menteri berani ke sahut cabaran Tun M,” kata Salehudin Othman.
”Tun M ni bukan calang-calang pemimpin la. Satu dunia kenal dia dan bangga dengan kepimpinan dia. Dia memang sudah tua, tapi dalam otak dia masih seperti 30 tahun lalu. Bukan semudah tu Anwar nak mentahkan Tun M,” kata Nurhashimah Hashim.
“Aku tak sabar nak tahu keputusan cabar mencabar ni. Tun M vs Anwar kot. Jangan lupa siapa yang masukkan Anwar dalam penjara dulu,” katanya Muhd Samsuddin.
Pada 6 Mei lalu, Anwar mencabar bekas pemimpin dan pembesar yang mendapat keuntungan ketika era pemerintahan mereka untuk berkongsi kekayaan dengan orang Melayu yang lain.
Jelas Anwar, ini kerana pemimpin-pemimpin berkenaan dilihat hanya mengaut keuntungan untuk diri sendiri dan keluarga ketika pentadbiran masing-masing.
Namun, apabila mereka tidak lagi berkuasa, isu membabitkan penyatuan serta kekuatan orang Melayu baru dibangkitkan dan diperjuangkan individu berkenaan. — Xklusif