Tiada lagi MP BERSATU akan sokong PM
Datuk Rosol Wahid berkata jaminan itu berdasarkan perbincangan yang berlangsung antara kesemua Ahli Parlimen BERSATU dengan pimpinan parti

SHAH ALAM 23 Nov – Seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU memberi jaminan penuh, tidak ada lagi Ahli Parlimen dari parti berkenaan yang akan beralih pendirian menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Rosol Wahid berkata jaminan itu berdasarkan perbincangan yang berlangsung antara kesemua Ahli Parlimen BERSATU dengan pimpinan parti.
Menurut Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu, pertemuan dengan semua mencapai keputusan positif apabila semua bersetuju untuk menyatakan sokongan berterusan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Selain itu, beliau berkata ada juga perbincangan dalam kalangan Ahli Parlimen parti itu mengenai sokongan dalam bentuk aku janji, namun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut adakah syor tindakan itu dilaksanakan atau sebaliknya.
“Kita ada perbincangan (mengenai aku janji). Maknanya sekarang ini kita sudah seiya sekata (tidak akan beralih sokongan).
“Sah tidak ada (Ahli Parlimen BERSATU akan beralih sokongan). Saya beri jaminan 100 peratus,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU keenam di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Ditanya adakah beliau pernah didekati ‘Datuk botak’, watak yang didakwa menjadi broker untuk mengajak Ahli Parlimen PN beralih sokongan, Rosol mendakwa ada menerusi panggilan telefon.
Beliau mendakwa ada dijanjikan projek pembangunan di kawasan Parlimen Hulu Terengganu, sebagai syarat perlu menyokong Anwar.
“Saya secara peribadi ada (dihubungi). Ada nombor-nombor (telefon) yang pelik saya tak angkat masa dalam tempoh, waktu yang dia cuba nak lobi. (Kebelakangan ini) ada nombor (telefon) pelik saya tak angkat.
“Saya jarang tak angkat telefon sebenarnya. Sejak 1999 saya bergelar YB (Yang Berhormat) sampai sekarang, semua (panggil) telefon saya angkat. Semua nombor (telefon) saya bagi kepada semua orang.
“Kebelakangan ini, bila ada isu begini saya tak angkat (panggil telefon). Sekarang ini tidak ada lagi,” katanya. – Berita Harian