USJT Bukit Aman siasat Lim Kit Siang
Lim Kiat Siang disiasat berikutan satu laporan polis diterima berkait impian kontroversinya untuk melihat bukan Melayu menjadi perdana menteri.

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyiasat veteran DAP, Tan Sri Lim Kiat Siang berikutan satu laporan polis diterima berkait impian kontroversinya untuk melihat bukan Melayu menjadi perdana menteri.
Peguam, Khairil Khalid, berkata difahamkan laporan polis terhadap anak guamnya itu dibuat oleh seorang orang awam, namun tidak mendedahkan lokasi dan tarikh laporan berkenaan dibuat.
Susulan laporan polis itu, katanya, Kit Siang disiasat dan diminta hadir memberi keterangan kepada polis hari ini untuk membantu siasatan dengan menjawab keseluruhan 27 soalan yang dikemukakan pasukan siasatan.
“Semua berjalan dengan lancar, prosedur biasa (rekod keterangan) memandangkan ada satu laporan polis berkenaan hantaran di Facebook dan blog oleh Tan Sri (Kit Siang). Siasatan belum dipastikan lagi mengikut akta apa, tetapi prosiding hari ini dibuat mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP).
“Selepas selesai rekod keterangan dan jika polis kesan ada kesalahan, baharulah polis akan tentukan tindakan lanjut,” katanya selepas selesai proses rekod keterangan terhadap Kit Siang yang dijalankan tiga pegawai USJT di Balai Polis Sea Park, SS 2, di sini.
Selain Khairil, Kit Siang turut ditemani seorang lagi peguam, Athari Bahardin sepanjang proses rekod keterangan yang berlangsung kira-kira satu jam.
Veteran DAP itu ditemani dua anaknya, Guan Eng, Ahli Parlimen DAP Bagan yang juga bekas Menteri Kewangan merangkap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Hui Ying, Ahli Parlimen DAP Tanjong yang juga Timbalan Menteri Kewangan, tiba di Balai Polis Sea Park pada jam 9.34 pagi.
Beberapa pemimpin parti itu turut dilihat hadir, antaranya Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran, bekas Menteri Sumber Manusia yang semalam dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) serta Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.
Kit Siang mencetuskan kontroversi melalui kenyataan dikeluarkan di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu, menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.
Kenyataan berkaitan ‘Impian Malaysia’ oleh Kit Siang itu dibuat ketika beliau berucap di hadapan kumpulan pelajar Malaysia di sana.
Bekas Pengerusi DAP itu antara lain mengatakan Perlembagaan Malaysia pada 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk, bersama-sama dengan Rukun Negara dan Wawasan 2020 berserta sembilan cabaran strategiknya, menjanjikan ‘Impian Malaysia’.
Impian berkenaan, katanya, meraikan kepelbagaian etnik, agama dan budaya, bukannya membawa satu impian untuk mana-mana satu etnik sahaja.
Menjelaskan kontroversi itu kemudian, Kit Siang berkata, ucapannya ketika itu sekadar menjelaskan bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, mana-mana individu layak menjadi perdana menteri tanpa mengira kaum.
“Walaupun bukan Melayu layak menjadi perdana menteri, saya katakan yang ia tak mungkin berlaku dalam tempoh 100 tahun. Namun, saya berharap ia tidak mengambil masa sehingga 230 tahun seperti Barrack Obama untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat,” kata veteran DAP itu. — Berita Harian