
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar sedang mempertimbangkan untuk memberi kuasa kepada polis di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi memperkukuh usaha menangani jenayah alam sekitar.
Menteri Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, cadangan lain termasuk meletakkan jenayah alam sekitar di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959
Beliau berkata, langkah yang dicadangkan ini akan memberikan pihak berkuasa “kuasa penguatkuasaan yang lebih kukuh” untuk mengambil tindakan terhadap pesalah.
“Kami juga mahu menyenarai hitam syarikat yang kerap melanggar undang-undang, menggubal undang-undang khusus untuk pengurusan import sisa, meminda Akta Pelabuhan dan Peraturan Zon Bebas bagi membolehkan tindakan diambil terhadap ejen perkapalan yang membuat pengisytiharan palsu, serta mengharamkan import sisa dari negara yang belum meratifikasi Konvensyen Basel.
“Tindakan ini selaras dengan prinsip kami yang mengutamakan pengurusan sisa domestik, kerana kami tidak mahu Malaysia menjadi tempat pembuangan sampah dunia.
“Untuk rekod, antara tahun 2015 hingga 2023, Malaysia telah menjana 764,453 tan e-waste (sisa elektrik dan elektronik),” katanya semasa sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Nik Nazmi menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu), yang meminta penjelasan mengenai langkah kementerian untuk membendung penyeludupan e-waste ke dalam negara susulan serbuan besar-besaran terhadap kilang pemprosesan sisa elektronik haram di beberapa negeri.
Beliau berkata, serbuan tersebut melibatkan pemeriksaan ke atas 47 premis, yang membawa kepada rampasan 15,764 tan e-waste, dianggarkan bernilai RM55 juta.
Nik Nazmi turut menyoroti cabaran yang dihadapi pegawai penguat kuasa dalam operasi berkaitan e-waste.
“Ada pegawai kami menerima panggilan video daripada ketua sindiket yang menunjukkan rakaman anak mereka di sekolah sebagai bentuk ugutan. Ini menunjukkan betapa seriusnya isu e-waste di Malaysia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian, dengan kerjasama agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Kastam, berjaya menghalang kemasukan 329 kontena ke dalam negara tahun lalu.
Sebanyak 15 kontena telah dihentikan setakat Februari tahun ini.