Politik

Buta hati tuduh orang Melayu angkuh – Hadi

KUALA LUMPUR, April 12 – Pihak yang menuduh Melayu sebagai angkuh dan membandingkan dengan keadaan Islam di Kemboja disifatkan sebagai buta hati.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tuduhan itu dibuat kerana kejahilan terhadap sejarah kejatuhan kerajaan Melayu Islam di Kemboja.

Katanya, Islam pernah dianut oleh bangsa Champa yang memerintah Kerajaan Champa namun jatuh menjadi kaum minoriti dan merempat di negara sendiri.

“Pada era komunis, ramai penganut Islam di Kemboja dibunuh dan paling ramai berhijrah ke Malaysia.

“Jika Melayu bersifat angkuh kumpulan pelarian Kemboja tidak akan memilih Malaysia sebagai tempat hijrah untuk menyelamatkan agama mereka.

“Melayu dituduh angkuh dibandingkan dengan Kemboja, menunjukkan jahil tentang sejarah kejatuhan kerajaan Melayu Islam di Kemboja, atau kerana buta hatinya,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Tambah beliau, jika Melayu bersifat angkuh kaum itu tidak akan menerima kedatangan Islam di negara ini dan akan kekal menganut agama Hindu dan Budhha.

Ini kerana agama Islam dibawa oleh bangsa asing ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

“Kalau Melayu ini angkuh seperti Iblis, sudah pasti mereka tidak akan memeluk Islam dengan mudah kerana Islam dibawa oleh pendatang asing daripada kalangan bangsa Arab dan India Muslim yang bukan Melayu,” katanya.

Kata Abdul Hadi, hanya Melayu yang tidak sayangkan kaumnya atau tegak bersama fanatik perkauman sahaja yang merosakkan kaum itu dan semua bangsa dalam masyarakat majmuk.

Sebaliknya, hanya Melayu yang tegak bersama Islam akan menjadikan Melayu dan semua bangsa lain selamat. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button