Politik

DAP dah berubah, ada janji – Saarani

DAP sudah berjanji tidak lagu mengungkit Islam sebagai agama persekutuan.

JOHOR BAHRU 1 Sept – DAP kini sudah berubah apabila berjanji tidak lagi mengungkit Islam sebagai agama Persekutuan, hak orang Melayu dan Bumiputera selain akur dengan Perlembagaan Malaysia.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu sudah dibincangkan dan mendapat persetujuan DAP sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Malah katanya, ia turut diakui secara terbuka Setiausaha Agungnya, Anthony Loke dan Setiausaha Organisasi Kebangsaannya, Steven Sim dalam beberapa siri ucapan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Selama ini yang menghantui hubungan Umno dengan DAP ialah dahulunya parti itu dikatakan tidak berapa mesra dengan perjuangan orang Melayu. Dikatakan dahulu mereka menentang hak istimewa orang Melayu, mereka tidak bersetuju dengan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, namun itu dahulu.

“Namun sebelum pembentukan kerajaan Perpaduan memang ada perbincangan dan persetujuan dengan parti itu telah lebih dahulu menyatakan persetujuan bahawa mereka tidak akan lagi mengungkit perkara yang berkaitan Fasal 153 Perlembagaan berkaitan hak istimewa orang Melayu, tidak akan ungkit lagi berkaitan dengan Islam sebagai agama Persekutuan dan akur dengan Perlembagaan Malaysia.

“Itu sudah cukup untuk menunjukkan bahawa mereka kini sudah pun berubah dan bersama-sama dengan haluan Umno yang selama ini mendukung Perlembagaan Malaysia. Maknanya kini tak ada masalah lagi (untuk orang Melayu terima DAP).

“Cuma sudah tentu ada fitnah atau hasutan yang dibuat oleh pihak lawan untuk memecah belahkan perpaduan antara Umno dan DAP yang menganggotai Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Soal Jawab Penerangan Isu Semasa Umno Johor di sini, malam tadi.

Kelmarin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed, dilaporkan menyarankan supaya DAP menggugurkan agenda Negara Sekular dan slogan Malaysian Malaysia dalam perlembagaan parti berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, semua pihak dalam gabungan Kerajaan Perpaduan terutama DAP, mesti berubah menjadi parti yang lebih sederhana, jika mahu diterima orang Melayu negara ini.

Dalam pada itu, Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, beliau yakin calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat akan memenangi kerusi itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 9 September nanti. — Harian Metro

Artikel Berkaitan

Back to top button