Penyokong Najib lari sokong PN, PH fokus pengundi atas pagar

KUALA LUMPUR 28 Julai – Pakatan Harapan (PH) lebih menumpukan kepada pengundi atas pagar, berbanding melayan kumpulan mendakwa penyokong bekas perdana menteri Najib Razak yang didakwa mahu menyokong Perikatan Nasional (PN) pada PRN.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata mereka akan meyakinkan pengundi segmen itu dengan menerangkan dasar dan inisiatif dibuat kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Sebagai kerajaan perpaduan dan PH, pandangan saya ialah cara terbaik untuk meyakinkan rakyat undi kita adalah menumpukan perkara penting untuk rakyat.
“Sebab tumpuan kita kepada pengundi atas pagar ini lebih memberikan hasil dalam PRU dari kami terperangkap dengan kumpulan tertentu,” katanya pada sidang media.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz semalam bahawa semua ahlinya dan penyokong Najib akan menyokong PN.
Dipetik Sinar Harian, gesaan dibuat kerana mereka mendakwa hilang kepercayaan terhadap Presiden Umno Zahid Hamidi.
Rafizi berkata PH menyerahkan kepada Umno untuk menguruskan perkara itu. — FMT