Hari terakhir Tol Rahmah Percuma, trafik mula sesak menuju ibu kota
Trafik tinggi itu bermula dari sebelum Hentian Gombak ke Plaza Tol Gombak, sebelum terowong Genting Sempah ke KM 31 serta Kampung Sungai Dua ke Plaza Tol Bentong terus ke Lentang.

KUALA LUMPUR, April 24 – Aliran trafik pada hari raya ketiga dari ibu negara menuju ke Pantai Timur di Plaza Tol Gombak dilaporkan sesak dan perlahan dengan pertambahan kenderaan sejak jam 1 tengahari tadi.
Menerusi laporan Lembaga Lebuhra a Malaysia (LLM), trafik tinggi itu bermula dari sebelum Hentian Gombak ke Plaza Tol Gombak, sebelum terowong Genting Sempah ke KM 31 serta Kampung Sungai Dua ke Plaza Tol Bentong terus ke Lentang.
Bilangan kenderaan yang bertambah menjelang tengah hari berikutan cuti umum sempena perayaan Aidilfitri berakhir Isnin, selain orang ramai mengambil kesempatan terhadap tawaran ‘Tol Rahmah Percuma’ yang akan berakhir hari ini pada jam 11.59 malam.
Selain itu, trafik dilaporkan perlahan ke arah selatan dari utara Malaysia sejak kira-kira jam 12 tengahari tadi bermula dari Kepala Batas ke Plaza Tol Hutan Kampung, Alor Setar (S) ke Sungai Petani (S), Bertam ke Plaza Tol Sungai Dua, Permatang Pauh ke Bandar Cassia, Jawi ke RnR Gunung Semanggol (S) dan Changkat Jering ke Sungkai.
LLM memaklumkan terdapat dua kemalangan melibatkan kereta terbabas di kilometer (KM) 291.3 arah selatan dari Simpang Pulai ke Gopeng, serta di KM 424.7 arah Selatan dari Bukit Tagar ke Bukit Beruntung, namun tiada lorong terhalang dan aliran trafik terkawal.
Selain itu, trafik dari arah Selatan ke ibu kota turut dilaporkan perlahan di beberapa kawasan.
Sebelum ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah peningkatan trafik sehingga 2.3 juta kenderaan sehari di tiga lebih raya utama yang bermula 19 April hingga 7 Mei sempena perayaan Aidilfitri.
Jangkaan jumlah peningkatan trafik itu melibatkan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Kuala Lumpur -Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1). – Xklusif