Impian KJ jadi PM masih diteruskan, biar dipecat dari UMNO

KUALA LUMPUR, Jan 30 – Biarpun dipecat dari parti yang disayangi dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi sejak 23 tahun lalu, Khairy Jamaluddin akan meneruskan impiannya untuk memimpin negara sebagai Perdana Menteri pada masa hadapan.
Bagaimanapun, bekas Ketua Pemuda UMNO itu belum mempunyai cara yang jelas untuk mencapai hasrat berkenaan itu dalam masa terdekat, namun akan memastikan keputusan yang dilakukan selari dengan visi negara yang dimahukan.
“Saya ingin mendapat keistimewaan suatu hari nanti untuk memimpin negara. Saya tidak pasti bagaimana ia akan berlaku sekarang, tetapi saya faham bahawa politik bukan jalan yang sentiasa lurus… pasti ada jalan berliku sebelum seseorang itu muncul sebagai pemimpin, bukan sahaja parti mereka, tetapi negara.
“Jadi saya masih menyimpan impian untuk memimpin negara ini suatu hari nanti. Bagaimana saya mahu lakukan, saya masih tidak tahu, tetapi saya ingin memastikan bahawa keputusan yang saya buat dalam beberapa bulan akan datang keputusan yang berdasarkan visi negara yang saya mahukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program bual bicara’Breakfast Grille’ di radio BFM, di sini, pagi tadi.
Dalam masa sama, Khairy masih belum membuat keputusan berhubung langkah seterusnya selepas dipecat khsusnya penglibatan dalam politik atau melakukan sesuatu yang lain buat sementara waktu.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, dia tidak tergesa-gesa untuk membuat sebarang keputusan dan terbuka untuk berjumpa dengan sesiapa yang ingin menyuarakan pendapat.
“Saya akan berjumpa sesiapa yang mahu berjumpa… saya akan mendengar apa yang mereka mahu katakan dan saya tidak kekurangan jemputan makan tengah hari, minggu ini. Saya tidak fikir saya perlu membayar untuk makan tengah hari minggu ini.
“Tetapi saya tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan. Jadi izinkan saya mengambil masa dan saya sangat terbuka dengan sesiapa yang ingin bertemu,” katanya lagi.
Jelas Khairy lagi, beliau mempunyai kriteria tersendiri untuk menyertai mana-mana parti politik jika ingin kekal dalam bidang berkenaan lagi.
“Ia mesti sejajar dengan wawasan saya sendiri untuk mewujudkan negara yang inklusif. Satu negara yang berasaskan tadbir urus yang baik. Satu negara yang progresif tetapi ia juga harus sesuai, antara kami ada keserasian.
“Sudah tentu, menyertai parti politik baharu akan menjadi janggal pada mulanya kerana mungkin, anda pernah bertelagah pada satu ketika sebagai parti lawan, tetapi itulah politik. Ia tentang memenangkan dan meyakinkan orang lain.
“Saya fikir saya bersedia untuk itu, tetapi ia perlu sejajar dengan visi dan bukan hanya mengambil kesempatan,” katanya.
Tambah bekas Menteri Kesihatan itu lagi, beliau tidak menolak kemungkinan untuk kembali kepada UMNO satu hari nanti, namun ia hanya akan berlaku jika parti itu berubah dan bukan lagi entiti yang sama seperti hari ini.
“Saya telah memikirkan soalan ini sejak dua hari lepas dan saya tidak pasti. Tetapi kemerosotan UMNO sudah bermula lama dahulu, saya takut ia sudah sampai ke titik tiada jalan kembali.
“Jadi jika saya terfikir untuk kembali ke UMNO, ia mesti menjadi entiti yang sangat berbeza daripada hari ini. Kepimpinannya juga telah merosot dengan teruk, dan saya tidak pasti ia boleh pulih,” tegas Khairy lagi.
Tambahnya, mahu membuang UMNO terus dari hidupnya bukan perkara mudah apatah lagi selepas mengabdikan diri selama 23 tahun dengan parti yang sama.
Malah, fakta bahawa beliau dipecat dan bukan mengundurkan diri, menjadikan situasi lebih sukar.