Berita

Kerajaan perlu tingkat usaha untuk capai sasaran stesen pengecas EV – Yeo

KUALA LUMPUR: Negara ini ketinggalan dalam mencapai sasaran untuk memasang 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) menjelang 2025, dakwa seorang ahli parlimen kerajaan yang menggesa kerajaan bertindak segera mengenai perkara tersebut.

Yeo Bee Yin (PH-Puchong) berkata, sehingga Mac lalu, hanya 2,288 stesen pengecas telah dipasang.

“Dengan kurang daripada tiga bulan sebelum 2025, kerajaan mesti bergerak pantas untuk mengelakkan kegagalan mencapai sasarannya,” katanya, merujuk kepada salah satu objektif dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Yeo berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Bekas Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar itu turut mencadangkan agar stesen pengecas dimasukkan sebagai aset di bawah rangkaian grid nasional.

Tenaga Nasional Bhd, syarikat utiliti nasional, perlu membiayai pemasangan stesen pengecas ini di bawah perbelanjaan modalnya, katanya.

Yeo berkata terdapat keperluan untuk mengatasi situasi “chicken and egg”.

“Jika stesen pengecas tidak mencukupi, rakyat tidak akan membeli EV, tetapi pada masa yang sama, jika tidak cukup EV di jalan raya, syarikat tidak akan memasang stesen pengecas tersebut.”

Dalam perkembangan lain, Yeo menggesa Putrajaya untuk memasukkan kawasan tanah lembap – yang merangkumi 3% daripada keluasan tanah negara – dalam penilaiannya ketika mengukur penyerap karbon untuk memberikan gambaran yang lebih tepat.

Beliau juga mencadangkan insentif untuk projek kredit karbon berasaskan alam semula jadi, seperti penanaman semula hutan dan pemulihan bakau.

Yeo berkata projek-projek ini boleh menjana pendapatan dan menyokong usaha pemulihan penyerap karbon melalui platform seperti Bursa Carbon Exchange.

Artikel Berkaitan

Back to top button