Pesawat terhempas: Mangsa bukan anak Jamaluddin Jarjis
Pesawat itu membawa 6 penumpang dan dua juruterbang

SHAH ALAM 17 Ogos – Mangsa kejadian pesawat ringan persendirian yang terhempas di Elmina, dekat sini disahkan bukan anak bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis.
Terdahulu difahamkan, nama seorang mangsa kejadian ialah Khairil Azwan Jamaludin, namun dia bukan anak kepada Allahyarham Jamaluddin.
Sumber menyatakan, Allahyarham hanya mempunyai dua orang anak sahaja dan nama yang tular itu bukan anak beliau.
Katanya, dia memeriksa nama Khairil yang tular itu bukan seperti yang digembar gembur di laman media sosial.
Malah pihak polis juga tidak dapat mengesahkan sama ada anak Allahyarham Jamaluddin terlibat dalam kejadian malang tersebut.
Petang tadi seramai 10 mangsa termasuk seorang EXCO Kerajaan Pahang, terkorban dalam nahas pesawat sewa khas, yang terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan kediaman Elmina di sini.
Dalam kejadian sekitar jam 2.40 petang tadi, pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dan pembantunya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas di Elmina.
Pesawat berkenaan yang berlepas dari Langkawi sudah diberi kebenaran oleh Menara Kawalan, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.40 petang.
Namun, pesawat berkenaan dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat. — Xklusif