Berita

RUU kawalan merokok dibentang, peruntukan GEG dikeluarkan

RUU itu, adalah percubaan ketiga kementerian untuk menggubal undang-undang mengenai kawalan terhadap merokok dan vape, dibentangkan oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR 28 Nov – Kerajaan telah menggugurkan peruntukan berkaitan larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok bagi orang di bawah umur daripada semakan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu, adalah percubaan ketiga kementerian untuk menggubal undang-undang mengenai kawalan terhadap merokok dan vape, dibentangkan oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Versi RUU sebelum ini memperkenalkan langkah-langkah yang bertujuan untuk menghalang sesiapa yang lahir dari tahun 2007 dan seterusnya daripada membeli tembakau atau produk nikotin. Ia kemudian dikenali sebagai golongan generasi penamat (GEG).

Menurut RUU yang dilihat oleh media hari ini, versi baharu itu melarang penjualan produk tembakau, bahan merokok atau gantian kepada produk tembakau atau menyediakan sebarang perkhidmatan untuk merokok kepada kanak-kanak di bawah umur.

Dr Zaliha turut mencadangkan agar RUU itu dibacakan untuk kali kedua esok.

Terdahulu, dia menarik semula RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bagi bacaan kali kedua seperti yang tertera dalam No 4 Aturan Urusan Mesyuarat hari ini.

RUU yang ditarik balik itu telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 12 Jun lepas sebelum dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen.

Pembentangan RUU itu menggantikan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentang bagi bacaan kali pertama pada 27 Julai 2022 oleh menteri kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin. – Malaysiakini

Artikel Berkaitan

Back to top button