Politik

PN sah tanding semua DUN di 6 negeri

KUALA LUMPUR 23 Jun – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan bakal bertanding di kesemua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata daripada jumlah itu, Bersatu bakal bertanding di 83 DUN, PAS di 126 DUN manakala 36 DUN lagi ditandingi oleh Parti Gerakan (Gerakan).

“Jumlah kerusi baharu bukan penyandang yang bakal ditandingi oleh anggota parti PN pula merangkumi Bersatu sejumlah 64 kerusi, PAS sejumlah 50 kerusi dan Gerakan sebanyak 36 kerusi,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Presiden PN di sini, semalam.

Turut hadir Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

PRN akan datang membabitkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45) dan Terengganu (32) yang berada di bawah pentadbiran PN manakala Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) iaitu negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin berkata jentera PN kini berada pada tahap tertinggi serta komited untuk menghadapi PRN terutama dalam usaha mempertahan tiga negeri di bawah pentadbirannya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah selain menawan tiga lagi.

Ditanya sama ada calon yang bakal bertanding telah dimuktamad, beliau berkata perkara itu akan dibincang di peringkat parti dan diumum di peringkat negeri terbabit.

“Nama calon akan dikemukakan oleh negeri menerusi pencalonan yang dikemukakan di peringkat kawasan masing-masing kerana setiap parti ada jawatankuasa yang akan menapis calon bersesuaian daripada pelbagai aspek,” katanya.

Muhyiddin berkata selain itu, PN kini di peringkat akhir dalam menyempurnakan manifesto gabungan tersebut.

Artikel Berkaitan

Back to top button