BN dah hilang kuasa, pengaruh – Tuan Ibrahim
BN didakwa sudah tidak mempunyai pengaruh di Pahang.

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang mendakwa Barisan Nasional (BN) sudah hilang pengaruh dan kuasa di bandar utama, khususnya di negeri berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, merasakan tidak logik apabila rakyat menaruh keyakinan dan kepercayaan kepada Perikatan Nasional (PN) yang bukan pentadbir negeri berkenaan, sedang mereka boleh saja mengundi calon parti pemerintah bagi meneruskan kesinambungan agenda pembangunan di kawasan terbabit.
Menurut Timbalan Presiden PAS itu, tindakan yang dipertontonkan oleh pengundi adalah manifestasi atau bukti jelas bahawa rakyat menolak BN.
Tambahnya, situasi itu boleh dilihat apabila beberapa bandar utama di Pahang antaranya Kuantan, Temerloh dan Jerantut dikuasai oleh PN, bukannya BN.
“Hari ini tuan-tuan cuba tengok bandar-bandar besar, semua pembangkang menang. BN sudah hilang pengaruh, sudah hilang kuasa di bandar-bandar utama. Bandar Kuantan pun PN menang. Temerloh PN menang. Mana lagi? Jerantut pun PN menang walhal kawasan bandar ini tempat pembangunan.
“Sepatutnya kalau kita fikir logik, bandar besar ini sepatutnya (parti) kerajaanlah yang menang sebab pengundi nak pembangunan. (Sebaliknya) Tidak (berlaku begitu). Ini kerana, orang bandar, mereka tak (boleh) terima parti BN tuan-tuan. Dia (BN kena) tolak dah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum DUN Pelangai di Felda Chemomoi malam tadi.
Mengemukakan contoh lain sebagai bukti PN semakin mendapat sokongan, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata boleh dilihat rekod pencapaian tiga menteri besar negeri ditadbir PAS dengan dua menteri besar dan seorang ketua menteri besar di negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, undi majoriti diraih ketiga-tiga menteri besar dari PAS meningkat dengan jumlah banyak jika dibandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan PRU15. Manakala dua menteri besar dan seorang ketua menteri dari PH mengalami kemerosotan dari segi undi majoriti.
“(Bekas) Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) bertanding di DUN Pasir Pekan ada PRU14, beliau dapat undi majoriti sebanyak 8,352. Baru ini (PRU15 memperoleh undi majoriti) 12,811…Berkali ganda naik.
“Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar…Pada PRU14 beliau peroleh undi majoriti (sebanyak) 6,028. Baru ini (PRU15) peroleh undi majoriti 17,295. Kalau pencapaian beliau tak baik, takkan (raih) undi berkali ganda tuan-tuan.
“Sanusi (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) yang angkat tangan itu. Dia baru angkat sebelah, kalau angkat dua belah (tangan) tak tahulah (apa akan jadi). Beliau pada PRU14 dapat undi majoriti 2,455. Baru ini PRU15, (peroleh) 16,050.
“Bandingkan pula dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang tanding di (DUN) Padang Kota. Pada PRU14 dapat undi majoriti 7,808, baru ini (PRU15) dapat 7,116. (Undi majoriti) Merosot, turun.
“Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun) pada PRU14 dapat undi majoiri 3,413 dan baru ini (PRU15) dapat 2,662. Menteri Besar Selangor, (Datuk Seri) Amirudin Shari pada PRU14 dapat (majoriti) 11,374 undi. Baru ini dapat 5,185 undi,” katanya.
Menerusi data yang dikemukakan itu, Tuan Ibrahim berkata, ia menunjukkan bagaimana sokongan rakyat tidak berbelah bahagi kepada PN iaitu gabungan antara PAS dan BERSATU sehingga meraih peningkatkan mendadak sokongan menerusi undi pada pilihan raya lalu. — Berita Harian