Berita

Tak mungkin kita korbankan satu inci tanah kita – Anwar

Anwar menegaskan perjanjian persempadanan maritim yang dimeterai dengan Indonesia baru-baru ini tidak melibatkan kawasan yang dipertikai oleh kedua-dua negara.

KUALA LUMPUR 13 Jun – Malaysia tidak sesekali mengorbankan soal kedaulatan negara dalam isu tuntutan pertindihan kawasan sempadan maritim negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan itu ketika ditanya Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) ketika sesi soal Jawab Perdana Menteri di Parlimen hari ini.

“Saya setuju, saya beri jaminan tak akan dikorbankan kepentingan kedaulatan negara…Pendirian kita, tak mungkin kita korbankan satu inci tanah kita.

“Tak ada (pertindihan) tuntutan berkait (negeri) Johor yang ada (membabitkan) Sabah, Kerajaan Persekutuan akan berunding,” katanya di Parlimen.

Anwar menegaskan perjanjian persempadanan maritim yang dimeterai dengan Indonesia baru-baru ini tidak melibatkan kawasan yang dipertikai oleh kedua-dua negara.

Katanya, sebelum menandatangi perjanjian terbabit dia berbincang dengan pakar daripada Maritim Malaysia, Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara, Peguam Negara serta Jabatan Ukur dan Pemetaan serta Pusat Hidrografi Nasional.

Muhyiddin mendakwa perdana menteri menandatangani perjanjian itu ketika lawatan kerja Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia baru-baru ini, walaupun pakar maritim memberi nasihat sebaliknya.

“Saya tak menuduh beliau, tapi nak minta beliau beri penjelasan, atau beri kenyataan dan keterangan pada rakyat secara terbuka, tak payah diselindungkan,” dakwanya dalam ceramah di Senawang, Negeri Sembilan, kelmarin.

Semalam, perdana menteri berkata dia akan menjawab soalan Muhyiddin yang juga pengerusi PN berhubung perjanjian sempadan maritim yang ditandatangani dengan Indonesia baru-baru ini, di Parlimen hari ini.

Anwar berkata soalan Muhyiddin akan dijawab semasa sesi soal jawab bersama perdana menteri (PMQ).

“Saya akan jawab di parlimen dan biar dia (Muhyiddin) ada untuk perbahasan.

“Saya harap dia hadir,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya.

Anwar berkata, meskipun berlaku pertindihan tuntutan dengan Indonesia, namun Putrajaya tetap menganggap negara itu sebagai sahabat.

“Soal kompormi tak berbangkit. Jokowi wakil rakyat dan presiden negara Indonesia, saya wakil rakyat dan perdana menteri Malaysia. Soal kedaulatan tak boleh dikompromi atau dikorbanakan kita akan lakukan dengan sebaikanya.

“Cuma saya beritahu, dalam rundingan ini, sama ada diteruskan, kita selesaikan apa yang kita setuju dulu. Yang kecil, kita tak setuju tangguhlah,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

Back to top button