Temukan molotov cocktail, polis buru suspek khianat rumah Koo Ham
Kediaman Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham terlibat kebakaran dipercayai akibat khianat.

KUALA LUMPUR 10 Jan. – Polis memburu suspek terbabit dalam kejadian kebakaran kediaman Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham yang disahkan polis menggunakan molotov cocktail.
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.
“Usaha mengesan individu terlibat kini masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mengesahkan penemuan botol disyaki mengandungi molotov cocktail yang dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit.
Dalam kejadian 2.50 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan sebuah kereta musnah manakala dua lagi rosak.
Ia termasuk Mercedes E300 yang terbakar kira-kira 80%, manakala Honda CRV dan Toyota Hilux terbakar 5%, serta bumbung anjung rumah.
Ngeh dan isterinya dilaporkan sedang tidur semasa kejadian, sebelum mereka dikejutkan orang awam yang melalui kawasan itu dengan menekan loceng rumah. — FMT