Politik

Bekas ahli DAP dakwa Guan Eng nak rampas jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang

KUALA LUMPUR 27 Julai – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng didakwa mempunyai hasrat untuk menjadi Ketua Menteri sekali lagi sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang di Pulau Pinang dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Perkara itu menurut bekas ahli DAP, David Marshel, boleh dilihat apabila usaha untuk menjatuhkan calon Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sedang giat dijalankan ketika ini.

Beliau mendakwa, terdapat gerakan untuk memecat Kon Yeow daripada jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang dalam pemilihan tahun depan.

Melihat situasi tersebut, Marshel berkata, beliau akan bertanding pada PRN Pulau Pinang bagi memastikan hasrat Guan Eng menjadi Ketua Menteri tidak tercapai.

“Saya akan bertanding dalam PRN Pulau Pinang dengan matlamat untuk menghalang Guan Eng daripada menjadi Ketua Menteri sekali lagi.

“Saya akan bertanding sebagai calon bebas dan slogan kempen saya adalah ‘bebaskan Pulau Pinang daripada Lim Guan Eng’,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

Untuk rekod, Guan Eng pernah menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang bermula pada 2008 hingga 2018.

Beliau kemudian diamanahkan untuk menggalas tugas sebagai Menteri Kewangan selepas PH berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam pada itu, Marshel berkata, beliau terkesan dan sedih kerana terpaksa keluar daripada parti yang dianggotainya sejak 15 tahun lalu.

Katanya, langkah keluar daripada parti tersebut terpaksa dilakukan selepas beliau kecewa dengan pengumuman calon baru-baru ini.

“Saya sayang parti ini tetapi tidak sayang kepada pemimpin-pemimpin dalam parti, terutama Guan Eng kerana dia tidak menghormati akar umbi,” katanya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button