(VIDEO) Lelaki cedera dalam kebakaran dua kilang di Kepong
Kebakaran ini membabitkan dua kilang iaitu kilang alat ganti motosikal yang musnah sehingga 90 peratus, manakala kilang kertas terbakar hampir 20 peratus

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Seorang pengarah sebuah kilang kertas cedera dalam kebakaran membabitkan dua kilang di Kepong, di sini, pagi tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat, berkata lelaki berusia 45 tahun itu cedera di kedua-dua pergelangan tangan kerana melecur dalam kebakaran yang berlaku pada jam 10.13 pagi.
“Kebakaran ini membabitkan dua kilang iaitu kilang alat ganti motosikal yang musnah sehingga 90 peratus, manakala kilang kertas terbakar hampir 20 peratus.
“Mangsa yang cedera dalam kebakaran ini dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.
View this post on Instagram
Rozihan Anwar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kebakaran itu pada jam 10.13 pagi, sebelum menggerakkan anggota dan jentera ke lokasi kebakaran.
“Seramai 50 pegawai dan anggota bersama lapan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, BBP Gombak Selatan, BBP Sri Hartamas, BBP Wangsa Maju, BBP Hang Tuah dan BBP Selayang digerakkan ke lokasi.
“Api berjaya dikawal pada jam 12.36 tengah hari daripada merebak ke bangunan kilang bersebelahan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Semua pekerja kilang selamat kerana berjaya keluar ketika kebakaran berlaku,” katanya.
Beliau berkata, siasatan juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran itu. – Berita Harian