Politik

Zambry, Ismail Sabri sah tidak bertanding Naib Presiden UMNO

KUALA LUMPUR 27 Feb – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abdul Kadir mengesahkan menarik diri daripada perebutan jawatan naib presiden UMNO.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas berbincang dengan kepimpinan parti, selain mengambil kira tugas rasminya sebagai menteri luar.

“Banyak perkara dan urusan hal-hal di luar negara yang perlu diuruskan demi memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa. Ia juga sekali gus membawa imej UMNO yang saya wakili dalam kerajaan perpaduan.

“Pada masa sama, sebagai setiausaha agung BN, saya mahu memberi keutamaan dalam mengukuhkan hubungan antara parti dalam gabungan BN dan juga antara parti dalam kerajaan perpaduan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, beliau akan mempertahankan jawatan dalam Majlis Kerja Tertinggi.

Pada 24 Feb lalu, Zambry mengumumkan beliau menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden.

Selain Zambry, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berkongsi pendirian sama dengan tidak mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan bulan depan.

Ismail Sabri berkata, sehingga kini beliau belum menghantar borang pencalonannya bagi merebut jawatan yang disandangnya sejak 2018 itu.

“Betul (tidak pertahan). Tutup pencalonan jam 5 (petang ini)…saya masih belum hantar,” katanya.

Ismail Sabri bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung sebab keputusan itu diambil.

Pencalonan bagi merebut semua jawatan dalam UMNO kecuali Presiden dan Timbalan Presiden yang dibuka sejak 1 Februari lalu, melabuhkan tirainya jam 5 petang semalam.

Sehingga kini, tujuh pemimpin parti sudah menyerahkan borang pencalonan mereka untuk bertanding jawatan itu, termasuk dua penyandangnya Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sementara lima pemimpin lain yang bertanding untuk jawatan itu ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Bekas Menteri Besar Johor yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Hasni Mohammad, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said pula menjadi calon wanita tunggal yang mencabar jawatan nombor tiga parti itu.

Terdahulu, PAU 2022 meluluskan usul supaya dua jawatan tertinggi parti itu iaitu presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti kelak.

Mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.

UMNO pertama kali menangguhkan pemilihannya yang sepatutnya diadakan pada 2021 sehingga tempoh 18 bulan, berakhir Disember 2022.

Namun pada akhir tahun lalu, UMNO meminda Fasal 10.16 perlembagaannya dan membenarkan penangguhan sekali lagi pemilihan iaitu enam bulan selepas pilihan raya peringkat Dewan Rakyat.

Tarikh akhir pemilihan UMNO terkini adalah pada 19 Mei ini. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button