Viral

(VIDEO) Macam dalam ‘movie’, adegan polis kejar penjenayah tular

KUALA LUMPUR 22 Mei – Sebuah video memaparkan adegan kejar mengejar polis peronda dan kereta jenis Proton Satria di sekitar Kajang Utama tular di laman sosial sejak semalam.

Video yang dimuatnaik orang awam itu turut mendapat tontonan ribuan warganet yang tergamam dengan kejadian berkenaan yang jarang sekali dapat dilihat di kawasan awam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari semalam, pihaknya dimaklumkan terdapat kejadian kejar mengejar antara Polis Peronda dan kereta jenis Proton Satria warna coklat yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di sekitar Kajang Utama.

“Kejadian bermula apabila kenderaan tersebut diminta oleh pihak polis untuk memberhentikan kenderaan bagi tujuan pemeriksaan, namun saspek enggan memberhentikan kenderaan.

“Suspek kemudiannya memecut laju melalui Jalan Kajang Utama, memasuki Lebuhraya Silk, seterusnya menghala ke Plaza Tol Sungai Ramal sehingga melanggar palang tol.

“Selepas itu, suspek cuba melarikan diri lagi dengan memandu secara melulu melalui Lebuhraya Silk dan masuk semula ke Jalan Ikram Uniten sehingga kereta saspek dapat ditahan di kawasan Jalan Persiaran Bandar Baru Bangi, Seksyen 9, dengan bantuan beberapa kenderaan peronda polis lain di kawasan berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil siasatan mendapati kenderaan suspek dalam masa kejadian telah melanggar beberapa buah kenderaan awam di jalanraya dan sebuah kerera peronda PDRM IPD Kajang semasa kejadian kejar-mengejar berlaku.

Menurutnya, kenderaan saspek dipandu secara berbahaya dengan memandu mencelah-celah diantara kenderaan awam sehingga mengalami kemalangan dan kenderaan suspek berjaya dihentikan.

“Seramai empat anggota polis dari Cawangan Kereta Peronda IPD Kajang yang berada di lokasi berjaya memberkas pemandu dan penumpang kereta berkenaan yang masing-masing berumur 26 dan 38 tahun.

“Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Bandar Bangi untuk tindakan lanjut. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine melalui ujian air kencing yang dijalankan,” katanya.

Dalam kejadian sama, sebanyak lima kenderaan telah dikenalpasti terlibat dalam kemalangan semasa kejadian kejar-mengejar tersebut, termasuk sebuah kenderaan PDRM dan pemeriksaan tiada sebarang kemalangan jiwa direkodkan.

“Semasa pemeriksaan terhadap suspek dalam kenderaan di lokasi kejadian turut menjumpai beberapa hablur kristal anggaran berat 2.1 gram dipercayai dadah jenis Syabu.

“Suspek kini telah dibenarkan ditahan reman selama hari sehingga 24 Mei ini bagi tujuan membantu siasatan. Hasil semakan kedua-dua suspek mendapati masing-masing rekod jenayah lampau melibatkan dadah,” katanya.

Kertas siasatan telah dibuka berkaitan kejadian itu dibawah Seksyen 186 Kanun Kesekaaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dimana jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau dengan denda yang boleh sampai sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, siasatan polis turut dijalankan di atas kesalahan memiliki dadah dan memasukkan dadah dalam badan dibawah Seksyen 12(3) / 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana perbuatan memandu secara merbahaya yang boleh membahayakan pengguna jalanraya yang lain.

Artikel Berkaitan

Back to top button