Berita

Anwar nafi dakwaan pertuduhan Sanusi untuk lumpuhkan PAS, PN

Sekiranya terdapat kritikan terhadap Perdana Menteri, undang-undang tersebut tidak akan digunakan terhadap pelaku.

KUALA LUMPUR 18 Julai – Penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dihadapkan ke mahkamah hari ini adalah kerana Menteri Besar Kedah itu telah menyentuh kedudukan institusi diraja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan penggunaan Akta Hasutan itu berkata, beliau secara umumnya tidak mahu akta tersebut digunakan dalam pendakwaan di mahkamah.

Katanya, sekiranya terdapat kritikan terhadap Perdana Menteri, undang-undang tersebut tidak akan digunakan terhadap pelaku.

Namun begitu, beliau berkata, ucapan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu telah menyentuh kedudukan dan martabat golongan diraja.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, ia juga bagi mengelakkan perkara sedemikian menjadi perbahasan politik yang tidak sihat.

Pada masa sama, Anwar turut menafikan dakwaan bahawa pertuduhan terhadap Muhammad Sanusi adalah bagi melumpuhkan Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos depan.

“Ya. Saya dari segi dasarnya, kita elak penggunaan Akta Hasutan. Tapi ini bila menyentuh kedudukan raja-raja.

“Soal kritik Perdana Menteri, saya tak pernah gunakan itu sebagai satu alasan tapi ini soal kedudukan dan martabat raja-raja yang harus kita sanjung dan elak daripada menjadi satu wacana perbahasan politik yang tidak sihat,” katanya. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button