Berita

Keputusan Syed Saddiq bukti tiada campur tangan di mahkamah

Perkara itu dinyatakan Fahmi Fadzil berkaitan keputusan mahkamah Syed Saddiq.

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Keputusan kes mahkamah melibatkan ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuktikan tiada campur tangan daripada mana-mana pihak khususnya eksekutif.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta terhadap Syed Saddiq adalah diputuskan secara bebas.

“Keputusan hari ini (semalam) saya percaya semua akur dan semua hormat keputusan mahkamah, penting saya ingatkan bahawa keputusan ini adalah keputusan institusi kehakiman yang diputuskan secara bebas… tidak ada campur tangan dari mana-mana pihak, apa lagi campur tangan daripada pihak eksekutif.

“Namun masih ada proses seterusnya dan beliau juga telah nyatakan akan merayu, jadi ikut prosesnya,” katanya.

“Saya secara peribadi simpati dengan beliau, saya kenal beliau malah sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, parti Keadilan telah mengarahkan supaya saya menjadi antara pemimpin yang menjadi penghubung dengan Muda, jadi banyak jugalah yang kita bincangkan sebelum PRU15,” tambahnya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Syed Saddiq, 30, bersalah dan dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Armada. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button