MIC dijangka tak bertanding PRN

KUALA LUMPUR 30 Jun – MIC, parti politik terbesar kaum India di negara ini berkemungkinan besar tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Sumber MIC memberitahu, parti itu bagaimanapun akan memberi sokongan termasuk sumber jentera pilihan rayanya kepada semua calon Barisan Nasional (BN).
Keputusan untuk tidak bertanding itu dianggap sebagai rekod baharu oleh penganalisis politik kerana buat pertama kali, sebuah parti komponen yang sudah lama berada dalam BN memilih untuk tidak bertanding di mana-mana kerusi.
“Ya, parti memutuskan untuk tidak bertanding. Kami memberi laluan kepada parti komponen lain dalam BN dan Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding PRN akan datang.
“Bagaimanapun, kami atas semangat BN akan meneruskan sokongan kami kepada calon-calon gabungan BN semasa pilihan raya. Kami tidak akan meninggalkan rakan-rakan kami dalam BN,” kata sumber MIC itu kepada Xklusif.
Jika ini berlaku, keputusan itu akan menjadi satu cara untuk parti itu menunjukkan bahawa mereka telah keluar daripada cengkaman UMNO, yang dilihat terlalu dominan dalam BN.
Penganalisis mendedahkan bahawa keputusan ini, jika benar, juga boleh membantu MIC mendapatkan semula maruah diri kerana sudah terlalu lama dilihat sebagai tunduk kepada UMNO.
Ini menyebabkan parti itu kehilangan sokongan sebahagian besar masyarakat India Malaysia.
“Selama ini, wujud tanggapan bahawa MIC menari mengikut rentak yang dimainkan oleh UMNO tetapi kini nampaknya parti itu telah menghentikan perkara ini.
“Mereka (pemimpin) sudah mula berfikir. Mereka mempunyai agenda mereka sendiri dan ia diikuti tanpa mengira UMNO.
“MIC kehilangan sedikit sokongan kaum India pada masa lalu kerana terpaksa tunduk kepada UMNO. Tetapi sekarang bukan UMNO yang menjadi kerajaan. UMNO sudah tertunduk.
“Penarikan diri MIC akan menambah kerosakan terhadap UMNO dan BN,” kata penganalisis yang enggan namanya disiarkan.
Untuk rekod, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sebelum minggu pertama Julai.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga dijangka mengadakan PRN di semua enam negeri secara serentak pada Ogos tahun ini.
SPR juga dijangka mengumumkan hari penamaan calon dan pengundian bagi enam pilihan raya negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam beberapa minggu akan datang. — Xklusif