(VIDEO) Ibu meraung lihat CCTV anak kena ‘tibai’ berkali-kali di taska di Kota Kinabalu
Video berdurasi dua minit 12 saat itu memaparkan sekumpulan kanak-kanak berada di sebuah taska bersama dua individu dewasa.

KOTA KINABALU – Sebuah video rakaman litar tertutup (CCTV) tular di aplikasi WhatsApp dan laman sosial sejak semalam mendapat kecaman hebat dari warganet apabila memaparkan seorang kanak-kanak dipercayai didera di sebuah taska di sekitar Kota Kinabalu, di sini.
Video berdurasi dua minit 12 saat itu memaparkan sekumpulan kanak-kanak berada di sebuah taska bersama dua individu dewasa.
Salah seorang individu terbabit dilihat sedang mengagihkan makanan namun bertindak menendang, menarik rambut, menolak dan memukul kepala seorang kanak-kanak dengan menggunakan buku di taska berkenaan.
View this post on Instagram
Rakaman CCTV itu kemudian dipercayai ditonton oleh ibu bapa kanak-kanak berkenaan dan menyebabkan kedua-duanya berang dengan perbuatan individu terbabit.
Malah perbuatan memukul kanak-kanak tersebut dilakukan secara berulang kali menyebabkan ibu kanak-kanak itu tidak dapat menahan kesedihannya sehingga menyebut ‘kasihan anak saya’ sambil meraung.
“Kasihan anak saya kau pukul begitu. Kenapa kau benci sangat kah anak saya itu,” kata ibu kanak-kanak itu berkali-kali.
Ibu kanak-kanak terbabit dipercayai merakam video berkenaan untuk dijadikan bukti dalam laporan polis mereka.
Warganet yang menonton video berkenaan turut meluahkan rasa geram dan tidak puas hati terhadap tindakan guru berkenaan dan berharap diberi hukuman yang setimpal.
“Ada lagi geng Siti Bainun yang terlepas ni. Memang kurang ajar sangat-sangat ni. Kenapa di sakit hati sangat dengan budak tu?” kata Syifa Othman.
“Melampau betul perempuan ni. Kalau aku jadi mak budak ni memang tak jadi orang dah aku. Tak boleh tahan dah marah tengok anak sendiri kena tibai macam tu,” kata Wana Mansor.
“Ada dewasa lain kat situ kenapa tak buat apa-apa? Ini dah melampau. Aku tak nampak budak tu melasak atau melawan tapi kenapa kau masih pukul dia banyak kali? Meringkuk la kau dalam penjara lepas ni,” kata Asim Mohd.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat. — Xklusif