Viral

(VIDEO) Wanita selamba pilih anggur elok dari bekas lain, isi sampai padat

Wanita itu dengan selamba membuka bekas anggur hijau yang lain untuk menukar dengan saiz yang lebih besar

KUALA LUMPUR 2 Nov – Tular sebuah video memaparkan seorang wanita cuba memenuhkan bekas anggur ingin dibelinya di sebuah pasar raya sehingga dikecam ramai warganet hari ini.

Menerusi video dimuat naik oleh @shazwaaa, kelihatan wanita itu dengan selamba membuka bekas anggur hijau yang lain untuk menukar dengan saiz yang lebih besar.

Wanita itu kemudian memasukkan anggur hijau berkenaan ke dalam bekas yang ingin dibelinya supaya penuh dan padat.

Bukan itu sahaja, wanita berkenaan menyuap anaknya anggur yang diambil daripada bekas lain tanpa menghiraukan jika ada individu lain menyaksikan kejadian itu.

“Perangai betul dia penuhkan bekas anggur tu sampai susah nak tutup. Dia ambil sikit-sikit dari bekas lain. Siap bagi anak makan lagi.

“Bukan apa, kan dah timbang. Tolong jangan biasakan perangai macam ni. Lagi-lagi depan anak,” tulis @shazwaaa yang memuat naik video berkenaan.

Difahamkan saksi yang merakam video tersebut sudah pun membuat aduan kepada petugas pasar raya berkenaan.

Sehingga kini, video tersebut mendapat 251,800 tontonan, 2,551 tanda suka dan 395 perkongsian.

Warganet beranggapan tindakan wanita tersebut hanya mementingkan diri sendiri kerana memberi kesan kepada pelanggan yang ingin membeli.

“Ramai yang buat macam ni macam pasar raya tu abah dia yang punya. Patut letak staf kat area situ supaya dapat elak benda sama jadi,” komen Linda Din.

“Lepas tu orang yang tak bersalah dan jujur dapat anggur busuk. Tolonglah pihak pasar raya ambil tindakan,” kata Nur Azidah.

“Bila tegur nanti mula la nak mengamuk. Kesian budak tu dapat mak perangai macam tu. Dah besar nanti buat benda sama macam emaknya,” komen Hasif Mohd. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button